PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat pulang ke tanah air hari ini selepas menamatkan Lawatan Khas ke United Kingdom.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berdua dan delegasi mendarat dengan selamat di lapangan terbang Pangkalan Udara TUDM Kuantan, Pahang pada pukul 3.45 petang tadi.
“Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
“Turut berada di Pangkalan TUDM, Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Datuk Sri Dr. Abdul Rahman Osman dan barisan EXCO Kanan negeri Pahang serta Orang Besar Berempat dan Orang Besar Berlapan negeri Pahang,” katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu katanya, sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menjalani saringan Covid-19 di Pangkalan Udara TUDM, Kuantan dan menjalani kuarantin kendiri selaras dengan ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua turut telah menjalani ujian saringan Covid-19 di London, United Kingdom, tiga hari sebelum keberangkatan pulang.
“Lawatan Khas ini merupakan kali kedua Seri Paduka Berdua ke United Kingdom sejak Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Lawatan Khas pertama adalah pada bulan Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Disember,” ujarnya.
Selain itu katanya, dalam Lawatan Khas kali ini, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan berangkat melawat Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford, selain menerima kunjungan Yang Mulia Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan di London.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, General Sir Nicholas Patrick Carter, di London dan berangkat menghadiri majlis perjumpaan semula (reunion) bersama para rakan kadet Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst pada tahun 1978/79.
“Menzahirkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda berdua, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut telah berkenan meluangkan masa bertemu dan menyantuni diaspora Malaysia di United Kingdom,” katanya. -K! ONLINE