ROUBAIX – Pasukan berbasikal trek Itali rugi ratusan ribu euro selepas 20 basikal milik pelumbanya dilaporkan hilang ketika menyertai Kejohanan Basikal Trek Dunia Roubaix, Perancis.
Sumber dalam pasukan Itali memberitahu, pihaknya menyedari kehilangan basikal tersebut pada pagi Jumaat lalu ketika menginap di sebuah hotel di Lille untuk menyertai kejohanan selama lima hari itu.
Antara basikal dikebas pencuri adalah basikal berwarna emas milik pelumba Filippo Ganna, Liam Bertazzo, Jonathan Milan dan Simone Consonni yang menjuarai gelaran dunia berpasukan pada Khamis lepas.
Harga sebuah basikal yang hilang itu bernilai AS$35,000 (RM145,232) dan hendal yang mempunyai cetakan 3D titanium dikatakan bernilai AS$12,000(RM49,794) seunit.
Menurut laporan, kakitangan pasukan Itali telah menyimpan kesemua basikal tersebut ke dalam bas mini untuk dihantar ke Itali dan diletakkan sementara di tempat letak kenderaan di hotel berkenaan.
Menurut laporan akhbar Itali, La Gazzetta dello Sport, pihak polis percaya jenayah itu dilakukan pencuri profesional meskipun tempat letak kereta itu dilengkap sistem keselamatan.
“Jenayah tersebut dilakukan dalam keadaan terancang. Kami sedar betapa sukarnya perjalanan ini, jadi kami memilih untuk tinggal di hotel yang dipantau sepenuhnya.
“Terbukti, meskipun dilengkapi keselamatan ia tidak menghalang berlakunya insinden seperti ini,” kata ketua delegasi Itali, Roberto Amadio. – AGENSI