AKTOR Alec Baldwin akhirnya membuka mulut buat kali pertama selepas secara tidak sengaja tertembak seorang pengarah fotografi dan pengarah filem ketika menjalani penggambaran filem Rust minggu lalu.
Dalam kejadian yang berlaku di Bonanza Creek Ranch, New Mexico Khamis lalu, dia yang sedang menggunakan sebuah pistol prop tertembak pengarah fotografi, Halyna Hutchins, 42, dan pengarah Joel Souza, 48.
Hutchins yang dikejarkan ke hospital bagaimanapun gagal diselamatkan, sementara Souza pula yang menerima rawatan sudah pun dibenarkan pulang.
“Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan terkejut dan sedih saya atas insiden yang berlaku kepada Halyna Hutchins. Dia seorang ibu, isteri dan rakan yang baik.
“Saya sudah memberikan kerjasama yang penuh kepada polis untuk menjalankan siasatan,” tulisnya dalam Twitter.
Aktor berusia 63 tahun itu sentiasa berhubung dengan suami Hutchins dalam usaha menyalurkan sokongan kepada keluarga si mati.
“Hati saya hancur melihat suami, anak mereka dan semua yang mengenali dan menyayangi Halyna,” katanya.