CHANGLUN – Seorang penjual biskut merayu orang ramai membantunya untuk menampung kos rawatan dan jagaan anak bongsunya yang dilahirkan tanpa lubang dubur di Kampung Changkat Setol di sini.
Mohamad Faiz Abdul Halim, 25, berkata, dia reda sebaik dimaklumkan oleh doktor yang anaknya, Muhammad Fayyadh Zikri mengalami masalah tersebut sebaik dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar tiga bulan lalu.
Bapa kepada dua anak itu berkata, walaupun dia tidak mempunyai pendapatan tetap, dia akan memastikan Muhammad Fayyadh akan mendapat rawatan terbaik dan kini berusaha keras untuk mengumpul wang bagi menampung kos rawatan dan belanja pembedahan kedua.
“Anak saya juga tidak dapat membuang air kecil dengan sempurna apabila sebahagian air kencingnya keluar melalui pusat.
“Sebelum ini anak saya sudah menjalani pembedahan stoma di HSB bagi membolehkan najisnya keluar menerusi saluran di perut, namun doktor memaklumkan dia perlu dibedah lagi bagi membolehkannya membuang air seperti biasa,” katanya.
Tambahnya, setakat ini pihak hospital masih belum menetapkan sebarang tarikh kerana perlu menunggu sehingga berat Muhammad Fayyadh Zikri mencecah lima kilogram.
Menurut Mohamad Faiz, kos mengenai pembedahan tersebut masih belum dimaklumkan.
“Saya membuat simpanan sedikit demi sedikit. Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan kerana mahu memberi lebih perhatian kepada Muhammad Fayyadh,” katanya.
Ujar Mohamad Faiz, ketika ini dia menjual biskut di tapak pasar malam Changlun serta secara online dengan pendapatan sekitar RM30 sehari, manakala isterinya, Zakirah Ghazali, 25, tidak bekerja.
Pasangan itu turut mempunyai anak perempuan Nur Rabiatul Adawiyah, 5.
“Saya perlu belanja RM300 sebulan untuk membeli barangan bagi membersihkan pusat serta saluran membuang najis di perut anak selain membeli tiga kotak susu formula khas yang berharga RM74 satu,” katanya.
Tambahnya, setakat ini belum ada mana-mana pihak yang menghulurkan bantuan dan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat masih diproses.
Orang ramai yang ingin membantu Mohamad Faiz boleh menghubunginya di talian 013-4513575 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam isterinya, Zakirah bernombor 0201-1024-3501-84. -K! ONLINE