ATLANTA – Petinju muda Amerika Syarikat (AS), Shakur Stevenson mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menjuarai tali pinggang WBO kategori featherweight selepas menewaskan Jamel Herring dengan keputusan technical knockout (TKO) semalam.
Pada aksi di Arena State Farm itu, Stevenson yang berusia 24 tahun tidak mempunyai masalah untuk menunjukkan kelincahan dengan memastikan Herring tidak mempunyai ruang dan peluang sekali gus bergelut di atas gelanggang.
Kata Stevenson, kemenangan yang diraih itu sangat luar biasa memandangkan Herring memiliki pengalaman cukup luas dalam arena tinju antarabangsa tetapi pada masa sama berharap keputusan itu dapat membuka mata peminat untuk mengiktiraf bakatnya.
“Secara jujur, ia bukan pertarungan yang mudah, namun saya dapat lihat Herring agak bergelut dalam gelanggang dan saya gunakan kesempatan itu sebaiknya dengan membuat tumbukan padu dan tepat ke arahnya.
“Dia adalah salah seorang petinju yang saya hormati. Mungkin saya anggap dia sebagai musuh kerana kami akan bertarung secara kompetitif, namun sebenarnya kami bersahabat dan cukup rapat termasuk keluarganya,” kata Stevenson.
Sementara itu, Herring yang berusia 35 tahun memberi bayangan untuk bersara bagi memberi tumpuan penuh kepada keluarga selepas gagal mempertahankan tali pinggang kejuaraan WBO yang dimiliki susulan kekalahan ketiga dalam kariernya sebagai petinju profesional.
“Saya masih belum memikirkan apa-apa mengenai perancangan masa depan tetapi sudah tentu kemungkinan paling besar untuk bersara itu ada. Namun, saya akan berbincang dengan keluarga terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Herring.
Difahamkan, Stevenson membawa pulang wang tunai sebanyak AS$1.7 juta (RM7.02 juta) pada pertarungan tersebut, manakala Herring pula meraih ganjaran AS$1.5 juta (RM6.2 juta). – AGENSI