BEIRUT, LEBANON – Kadar import kereta di Lebanon merosot 70 peratus bagi tempoh dua tahun lepas dengan lebih ramai penduduk negara itu kini dilaporkan tidak berkemampuan untuk membeli kenderaan baharu, lapor saluran televisyen France24 baru-baru ini.
Kemorosotan mata wang tempatan sebanyak 90 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat dalam pasaran gelap memburukkan lagi keadaan.
Kejatuhan dalam rizab mata wang asing telah memaksa pihak berkuasa Lebanon untuk menilai semula subsidi terhadap import termasuk bahan api, sekali gus menyebabkan harga melonjak tinggi.
Menurut laporan, 20 liter minyak petrol kini bernilai kira-kira satu per tiga daripada gaji minimum penduduk Lebanon, dengan hampir 80 peratus populasi negara itu berada di bawah garis kemiskinan.
Sejak 2019, krisis kewangan terburuk yang berlaku di negara Asia Barat itu telah menjadikan minyak petrol sebagai sesuatu yang berada di luar kemampuan penduduk selain deretan panjang di stesen-stesen minyak menjadi situasi yang tidak mampu dibendung.
Disebabkan keadaan itu, kenderaan-kenderaan seperti tuk-tuk, basikal, bas dan aktiviti berkongsi kereta menjadi semakin popular di negara itu, di tengah-tengah usaha untuk mengubah sikap orang awam dan kos pengangkuran yang meningkat termasuk tambang teksi.
“Sebelum krisis ini berlaku, saya banyak menggunakan kereta milik keluarga atau teksi, namun kini semuanya menjadi mahal dan di luar kemampuan kami,” kata seorang penduduk, Grace Issa.
Satu-satunya pilihan wanita itu untuk pergi ke pejabat adalah menggunakan perkhidmatan bas oleh sebuah syarikat permulaan yang dikenali sebagai Hadeer.
“Kini, saya membelanjakan kira-kira 30 peratus daripada gaji untuk pengangkutan berbanding 70 peratus sebelum ini,” ujar Grace.
Buat masa ini, terdapat lebih dua juta kereta untuk enam juta penduduk di Lebanon. – AGENSI