PETALING JAYA – Kini telah menjadi ikutan ramai bagi individu-individu yang menginginkan kecantikan segera dengan menyuntik bahan-bahan terlarang sehingga memudaratkan diri sendiri.
Menerusi satu perkongsian video oleh salah seorang pengguna TikTok, wanita itu mengalami bengkak di bahagian hati akibat terkesan daripada ‘drip whitening’ (suntikan kecantikan) dan minum-minuman untuk kurus.
“11 botol masuk air dan tiga kali ambil darah, perit. Ini ialah kesan daripada ‘drip whitening’, makan jamu dan minum minuman untuk kurus. Ini menyebabkan punca hati bengkak,” katanya dalam video itu.
Tambahnya lagi, dia menasihati orang ramai agar sentiasa menyayangi diri sendiri dan jangan mudah terperanguh dengan mahukan kulit yang lebih cerah sehingga sanggup menggunakan pelbagai cara tanpa selidik kesan sampingan.
“Sayangilah diri anda dan jangan mudah terpengaruh seperti saya, nak cantik sakit atau nak cantik sihat, sekarang nak makan pun kena berpantang banyak yang boleh makan sekarang dah tak boleh,” jelasnya.
Susulan perkongsian video itu, orang ramai mempersoalkan tindakan pengusaha-pengusaha yang masih menjual bahan-bahan seperti ini yang boleh memudaratkan diri dan ada juga yang mendoakan agar wanita itu cepat sembuh.
“Saya masih tak faham, kenapa masih banyak ‘founder’ (pemilik) yang keluarkan benda bahaya macam ini, untuk pengetahuan semua bukan setakat ubat makan kurus dan putih sahaja tapi produk yang tak diiktiraf pun ada,” kata Gwendo Lien.
“Semoga cepat sembuh, kalau nak putih setiap hari pakai ‘scrub’ atau losyen, kalau nak kurus setiap hari makan secara bersederhana saja dan jangan lupa banyakkan minum air putih, insya-Allah berjaya,” jelas Koyak Kingkong.
“Tolong jangan buat rawatan ini, pengalaman depan mata tak sempat nak ambil rawatan lanjut dah banyak organ rosak dan berakhir dengan kematian,” ujar Rinnies1601.
Sehingga kini, perkongsian video tersebut meraih lebih 263,200 tontonan dan 12,600 tanda suka di akaun TikTok miliknya – K! ONLINE.