fbpx

Mamat Khalid, terpadamnya sebutir bintang terang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Mamat Khalid

KEMATIAN itu sesuatu yang pasti buat setiap insan bernama manusia. Sampai masanya, tidak tercepat mahupun terlambat sesaat, pasti ajal datang menjemput tepat pada waktunya.

Begitulah berakhirnya riwayat hidup seorang insan seni bernama Mamat Khalid. Perginya pada saat menghabiskan masa bersama ahli keluarga apabila rebah di kafe miliknya, Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak awal pagi semalam.

Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River sekitar pukul 12.30 pagi.

Mamat Khalid, sepotong nama yang kekal harum sebagai pengarah prolifik berjaya menambat jiwa peminat seni menerusi naskhah-naskhah kemasyarakatan yang disadur dengan komedi satira dan jenaka lucu.

PERGINYA mengejutkan ramai. Akan tetapi, nama Mamat Khalid akan tetap abadi sebagai penghibur dan anak seni berbakat tiada pengganti.

Selaku pengarah, Mamat dilihat sering melawan arus dan membikin karya mengikut kehendak hatinya sendiri termasuklah barisan pelakon pilihannya.

Jika diperhatikan dalam setiap karya tidak kira filem mahupun drama, beliau pasti akan memperkenalkan pelakon baharu yang berbakat besar.

Ketepikan soal rupa paras mahupun pengikut dalam media sosial, Mamat memilih pelakon berdasarkan karakter unik antaranya watak Yah Kuchei lakonan Afea Deanna dalam filem 18 Puasa di Kampong Pisang yang asalnya merupakan pekerja sambilan di kafenya.

Itu dari segi kerjaya, tetapi perihal tentang lelaki berjiwa besar itu, beliau memiliki karakter yang secara peribadinya cukup menghiburkan.

Bahkan keramahan tawanya dalam pertemuan terakhir penulis bersamanya pada Mei 2019 masih melekat dalam lipatan kenangan.

Pada waktu itu, berita Mamat jatuh sakit dan berada dalam keadaan kritikal akibat masalah paru-paru dan jantung menyita perhatian khalayak.

Sungguhpun begitu, itu bukanlah kali pertama beliau jatuh sakit. Pada 2017, Mamat pernah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengadu sesak nafas selepas majlis tayangan perdana filem Lebuhraya Ke Neraka.

Beliau juga pernah menjalani pembedahan kecil bagi membuka kembali saluran darah yang tersumbat di bahagian jantung pada 2014.

Ketika itu, penulis berkunjung ke kafe miliknya sebaik sahaja diberi lampu hijau untuk ditemu bual. Kembali sihat daripada koma, Mamat menyifatkan peluang kedua yang diberi Tuhan ibarat mati hidup semula.

Naskhah pecah panggung

Sepanjang penglibatannya dalam arena industri seni tanah air, pengarah kelahiran Ipoh, Perak itu cukup terkenal dengan banyak naskhah popular dan hit yang mendapat sentuhan magis ‘air tangannya’.

Paling berjaya dalam sejarah peribadi karier pengarah itu adalah siri filem Hantu Kak Limah iaitu Hantu Kak Limah 3 yang ditayangkan pada Ogos 2018.

Naskhah berkenaan berjaya mengaut kutipan pecah panggung tertinggi dalam sejarah industri perfileman tempatan sebanyak RM50.79 juta.

MAMAT meninggalkan hadiah terakhir buat peminat menerusi francais fenomena Kampong Pisang yang meninggalkan impak serta watak popular seperti Barkoba dan Yah Kuchei.

Luar biasa. Buah fikiran Mamat yang diterjemahkan dalam naskhah tersebut benar-benar meninggalkan impak buat penonton apatah lagi dengan kehadiran tonggak utamanya iaitu Datuk Awie selaku Husin dan aktres veteran Delimawati (Kak Limah), benar-benar mencuit hati.

Malah, sehingga akhir hayatnya, Mamat tetap setia meneruskan kerja-kerja seni. Menurut anaknya Mohd. Khalid Amen Mohamad, 25, arwah bapanya sepatutnya memulakan penggambaran untuk telefilem berjudul Kampung Pisang Berbuah Dua Kali pada minggu depan.

Kehilangan besar

Berita pemergian Mamat sebagai ‘hero’ filem Melayu secara mengejut pada awal pagi semalam benar-benar menyentak emosi setiap orang yang pernah mengenalinya secara dekat mahupun menerusi karya-karyanya sahaja.

Penyanyi dan pelakon Datuk Awie ketika ditemui di kediaman pengarah dan penerbit itu di Taman Ipoh Jaya Timur 1, Ipoh semalam, mengakui tidak dapat menahan sebak apabila Mamat yang dianggapnya sebagai abang telah pergi buat selama-lamanya.

Ujar Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, 53, beliau menyifatkan arwah sebagai pengarah, sahabat dan abang yang baik dan mempunyai keperibadian yang periang walaupun nampak garang.

“Dia penghibur tatkala ada orang yang bermasalah di lokasi. Pada masa sama dia juga memberi tunjuk ajar sehingga semua pelakon dapat membawa watak yang lebih baik,” katanya.

Ujarnya lagi, sehingga ke akhir hayatnya, Mamat masih memanggilnya dengan nama Husin iaitu watak yang dibawanya dalam filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah.

SELEPAS beberapa tahun lalu kesihatannya tidak menentu, Mamat akhirnya pulang ke negeri abadi pada tengah malam semalam meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.

Berkongsi perasaannya ketika mendapat perkhabaran berita tentang pemergian arwah, Awie berkata, hatinya luluh apabila diberitahu Mamat sudah tiada.

“Luruh hati saya. Pergi lagi seorang sahabat dan abang saya,” jelasnya.

Beberapa minggu lalu, arwah ada menghantar mesej kepada Awie menerusi aplikasi WhatsApp dan mendoakannya cepat sembuh dan itulah kali terakhir mereka berhubungan.

“Love you bro, cepat-cepat sembuh. Itu mesejnya kepada saya. Dia tidak pernah hantar mesej begitu kepada saya sebelum ini. Dia turut bertanya khabar saya,” katanya yang kali terakhir berjumpa dengan Mamat pada tayangan Kampung Pisang Musikal beberapa bulan lalu.

Sementara itu, aktres veteran Delimawati menyifatkan pemergian Mamat merupakan satu kehilangan besar.

Delimawati, 63, ketika dihubungi semalam memberitahu, kehilangan pengarah berkaliber itu sangat dirasainya lebih-lebih lagi beliaulah yang menaikkan namanya menerusi filem Hantu Kak Limah beberapa tahun lalu.

“Sampai ke saat ini saya masih tak percaya akan berita pemergian dia. Saya dapat khabar sedih ini sekitar pukul 2.30 pagi semalam menerusi rakan-rakan.

“Mulanya memang rasa tak percaya dan anggap perkara tersebut tidak benar, rasa macam betul ke dia sudah tiada. Tetapi itulah hakikat yang kita semua perlu terima,” katanya.

DELIMAWATI yang popular menerusi watak Hantu Kak Limah menyifatkan pemergian Mamat yang dianggapnya sebagai adik merupakan kehilangan besar buat industri.

Tambah Delimawati atau nama sebenarnya Delimawati Ismail, dia benar-benar terkilan kerana tidak dapat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Mamat kerana kekangan masa.

“Saya betul-betul rasa bersalah. Niat hati memang nak sangat hantar dia sampai ke ‘rumah’ abadinya. Kali terakhir kami berjumpa pun sekitar dua tahun lalu,” ujarnya.

Mamat yang merupakan adik kepada kartunis terkenal negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak.

Terima kasih Mamat Khalid kerana tidak pernah berhenti memberi warna dan senyuman kepada peminat filem Melayu.

Terima kasih kerana berjaya meyakinkan penonton bahawa seni itu tidak perlu cantik dan indah semata-mata dan membuka akal dalam setiap komedi satira bersulam jenaka.

Selamat berehat Mamat. Semoga damai dipeluk rahmat Ilahi di negeri abadi. Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI