fbpx

Mahkamah benarkan pasport Muhammad Shafee dikembalikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Shafee

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport sementara bermula 27 Oktober hingga 30 November ini untuk beliau ke Amerika Syarikat (AS).

Permohonan pasport itu bagi membolehkan Muhammad Shafee selaku pemohon untuk berjumpa dan menguruskan pengajian anaknya di The New School Parson, New York di negara Uncle Sam tersebut.

“Pasport akan dikembalikan kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 3 Disember 2021,” kata peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, S. Nithia selaku responden tidak membantah sebarang bantahan.

Selepas mendengar permohonan dan meneliti afidavit Hakim Muhammad Jamil Hussin kemudian membenarkan permohonan itu.

“Mahkamah telah mendengar permohonan notis usul dan membaca afidavit sokongan pemohon (Muhammad Shafee). Selepas menimbang alasan-alasan pemohon dan responden tiada apa-apa bantahan, permohonan pemohon adalah dibenarkan,” kata hakim itu.

Justeru, mahkamah membenarkan perbicaraan ditangguhkan dan menetapkan prosiding bersambung esok serta melapangkan tarikh pada November ini selain pasport itu diserahkan kepada Muhammad Shafee hari ini.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd., J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI