fbpx

Jurusan fotografi tingkat keyakinan diri Ain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAHASISWI jurusan fotografi ini gemar mengajar rakan-rakan mengenai komposisi gambar.

KETIKA kecil, gadis ini merupakan seorang yang sangat pemalu dan suka menyendiri. Masanya banyak dihabiskan bersama keluarga tercinta.

Bagaimanapun, sifat malu yang ada dalam dirinya itu sedikit demi sedikit hilang selepas pemilik nama Nur Ain Balqis Khairul Rimy Bakhtiar ini melanjutkan pengajian di menara gading.

Gadis berusia 21 tahun ini mula berubah selepas dia mengenali dunia luar dan seterusnya membentuk dirinya yang lebih yakin serta ceria hari ini.

“Pada tahun 2018, saya melanjutkan pengajian dalam peringkat Diploma jurusan fotografi dan pengimejan kreatif di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, Melaka.

“Jurusan yang diambil itu memerlukan saya berinteraksi dengan rakan-rakan kerana banyak melibatkan aktiviti luar.

“Dari situlah bermulanya episod yang mana mengubah perwatakan saya daripada seorang yang pemalu kepada seorang lebih berani sehingga membantu dalam memantapkan keyakinan diri,” katanya memulakan bicara.

Menurut gadis yang lebih mesra dipanggil Ain ini lagi, dia sebenarnya meminati bidang seni dan rekaan lantas menjadikan jurusan tersebut sebagai pilihan pertama dalam borang permohonan kemasukan ke universiti.

Tetapi tanpa disangkanya, rezeki dalam jurusan fotografi lebih berpihak kepada dirinya.

AIN meminati bidang peragaan dan menjadikan Gigi Hadid sebagai idolanya.

Mendalami ilmu fotografi bersama barisan pensyarah yang berpengalaman, Ain akui bidang tersebut bukanlah semudah yang sering dianggap segelintir individu.

Kesukaran tersebut menyebabkan Ain hampir putus asa sewaktu berada di semester satu. Begitupun anak kedua daripada enam beradik ini bersyukur kerana dikelilingi keluarga rakan-rakan yang tidak jemu memberi sokongan sehingga dia berjaya menamatkan pengajian dan kini sedang menunggu kemasukan ke peringkat ijazah sarjana muda pula.

“Saya bersyukur kerana jurusan tersebut membolehkan saya menambah ilmu yang sangat banyak selain memahami bidang fotografi dengan mendalam.

“Atas ilmu yang dimiliki ini juga membolehkan saya mengajar rakan-rakan yang kurang arif tentang komposisi dalam kamera sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Sebagai pelajar fotografi, tidak lengkap rasanya jika tidak membidik gambar. Kata Ain dia gemar merakam gambar suasana, bangunan dan potret yang mana aktiviti tersebut dijadikan sebagai hobi.

Ceritanya lagi, walaupun jurusan yang diambilnya adalah fotografi, namun akuinya lagi dia lebih cenderung ke arah bidang peragaan dan rekaan fesyen.

Biarpun begitu gadis yang menjadikan selebriti terkenal antarabangsa Gigi Hadid dan Selena Gomez sebagai idola ini percaya tidak mustahil bagi dirinya untuk mencuba nasib dalam bidang tersebut satu hari nanti.

Di sebalik cita-cita yang ditanamnya itu, matlamat gadis kecil molek ini hanyalah satu iaitu mahu menjadi seorang individu yang berjaya dan komited dalam apa juga yang diceburi bagi membolehkan dia membalas jasa ibu bapa dan membuatkan kedua-dua orang tuanya hidup senang satu hari nanti.

“Sekarang ini saya begitu teruja dan tidak sabar untuk kembali ke universiti.

“Gembira rasanya apabila negara berjaya mencapai 90 peratus imuniti kelompok sehingga membolehkan masyarakat termasuk mahasiswa seperti saya menjalani kehidupan sebagaimana biasa serta meneruskan pembelajaran secara bersemuka seperti dahulu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI