KETUA jurulatih skuad bawah 22 (B-22) negara, Brad Maloney mengingatkan barisan pemain tidak memandang ‘enteng’ pada aksi menentang Laos pada peringkat Kumpulan J kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium MFF, Ulaanbaatar hari ini.
Sebagai rekod, skuad muda Harimau Malaya perlu untuk memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan memandangkan hanya juara peringkat kumpulan yang akan meraih slot automatik ke pentas Piala Asia B-23 2022 nanti.
Kata Maloney, Laos sudah menunjukkan peningkatan baik terutama skuad remaja dan sering memberi kesukaran buat pasukan negara beberapa tahun lalu.
“Ini bukan kali pertama kami menentang Laos dan saya akui mereka sudah meningkat mendadak dengan memberikan saingan yang cukup kompetitif di pentas Asia Tenggara.
“Selain itu, Laos juga memiliki barisan pemain bagus daripada aspek teknikal dan secara taktikal, benteng mereka sukar untuk dibolosi dan itu cabaran terbesar buat pasukan saya esok (hari ini).
“Namun, sudah tentu kami berharap kemenangan dapat diraih kerana ia adalah aksi pertama dan kami mahu memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan,” katanya pada sidang akhbar secara virtual semalam.
Sementara itu, Maloney turut mengakui anak-anak buahnya sudah menyesuaikan diri sepenuhnya dengan keadaan di Mongolia apabila beraksi di padang tiruan selain cuaca yang sangat sejuk.
“Sepanjang berada di sini, saya lihat barisan pemain sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk selain keadaan padang tiruan yang saya anggap bukan cabaran utama buat kami,” katanya.
Selepas aksi bertemu Laos, skuad negara dijadualkan menentang Mongolia pada Khamis ini dan aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan Thailand pada Ahad.