KEMUNCAK populariti yang dicapai aktres cantik Han So-hee ketika ini mencipta fenomena gara-gara penampilannya dalam siri aksi My Name.
So-hee dilihat melakukan transformasi watak daripada sering memaparkan personaliti wanita cantik dan feminin bertukar kepada seorang yang kuat dan handal melakukan babak aksi.
Ketika ditanya tentang tumpuan orang ramai terhadap visual aset kecantikan miliknya, So-hee ada pendapat berbeza.
“Sejujurnya, saya pernah beritahu peminat bahawa visual luaran merupakan ‘perisai’.
“Saya sendiri selalu bertanya dalam hati, apa yang saya boleh lakukan untuk menyerlahkan identiti dan jiwa untuk kerjaya ini berbanding hanya menonjolkan visual luaran.
Saya tidak mahu sekadar nak tunjuk kecantikan,” katanya.
Tambah So-hee, tidak semestinya dia perlu menjadi hodoh, sebaliknya dia mahu menonjolkan sisi berbeza yang ada dalam diri tanpa mengutamakan kecantikan.
“Saya mahu berkongsi sisi baharu kepada semua orang. Sisi berbeza yang hanya diketahui diri saya seorang,” katanya lagi.