ALOR GAJAH – Seorang guru maut ketika dalam perjalanan untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal di sini selepas kenderaan dipandunya dirempuh sebuah lori, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa Sakura@Muna Sakura Muhammad Perang, 54, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Honda City dalam perjalanan dari arah Taman Nuri menuju ke sekolah berkenaan.
Katanya, setiba di simpang tiga Jalan Alor Gajah Lama, mangsa yang cuba membelok ke kanan bagaimanapun telah dirempuh sebuah lori dan terseret sejauh 6.2 meter.
“Lori tersebut dari arah Krubong ke Nyalas dan setiba di lokasi kenderaan berat itu telah merempuh bahagian kanan kereta dipandu mangsa.
“Akibat rempuhan itu, kereta mangsa terseret sejauh 6.2 meter dan guru berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE