fbpx

Faiz dapat tawaran sertai Penang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZ baru sahaja menyerahkan surat penerimaan tawaran kepada Lip Chee bagi mewakili kelab Penang FC bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim depan.

PEMENANG Anugerah Puskas 2016, Mohd. Faiz Subri mencipta kejutan apabila menerima tawaran untuk mewakili kelab Penang FC bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim depan.

Keputusan tersebut menyaksikan pemain sayap berusia 34 tahun itu bakal membuat kemunculan kompetitif di atas padang buat kali pertama sejak musim 2019.

Sebagai rekod, Faiz telah menyertai kelab Liga M3, Northern Lions FC pada musim 2020 dan Kuala Kangsar FC tahun ini tetapi tidak membuat sebarang kemunculan ekoran saingan tersebut dibatalkan penganjurannya susulan pandemik Covid-19.

Kata Faiz, proses rundingan untuk kembali bersama skuad kendalian Thomas Trucha telah berlangsung selama empat bulan tetapi dijangka hanya me­nyertai pasukan pada awal tahun depan.

“Saya baru menyerahkan surat penerimaan tawaran tetapi masih belum menandatangani apa-apa kontrak. Saya pun sudah lama bersama pasukan Pulau Pinang, jadi jika diberi kesempatan, saya ingin meng­akhiri karier dengan pasukan ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Faiz hadir pada program Sukan Untuk Semua: Klinik Bola Sepak 2021 di Seberang Jaya bagi menyerahkan surat penerimaan tawaran kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Penang FC, Soon Lip Chee.

Ini merupakan penampilan kedua buat Faiz bersama skuad Harimau Kumbang selepas berbakti hampir empat tahun bermula musim 2015 sehingga kontrak berakhir pada 2019.

Faiz mula mendapat perhatian dunia selepas sepakan percuma yang dilakukan pada aksi Liga Super musim 2016 bertemu Pahang FC diiktiraf sebagai gol tercantik dunia oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI