LONDON – Chelsea terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah Norwich City 7-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge malam kelmarin.
Meskipun beraksi tanpa kelibat dua penyerang, Romelu Lukaku dan Timo Werner yang mengalami kecederaan, namun ia langsung tidak menghalang skuad kendalian Thomas Tuchel itu daripada ‘mengganas’.
Jaringan hatrik menerusi Mason Mount serta masing-masing satu gol yang dijaringkan Callum Hudson-Odoi, Reece James, Ben Chilwell serta gol sendiri Max Aarons sudah cukup membuktikan kehebatan The Blues.
“Satu permainan yang cukup baik dipamerkan oleh semua pemain. Saya sangat gembira kerana kami tidak mensia-siakan peluang terhidang apabila berjaya menjaringkan tujuh gol dalam perlawanan ini.
“Kami memulakan perlawanan dengan tempo tinggi hingga menyebabkan pasukan lawan sukar untuk mengekang serangan daripada Chelsea. Kami memang layak untuk menang dengan jaringan seperti ini,” kata Tuchel.
Dalam pada itu, beliau juga berpuas hati selepas menyaksikan Mount berjaya menamatkan kemarau jaringan dengan menjaringkan tiga gol dan percaya ia mampu menyuntik semangat pemain antarabangsa England itu.
“Satu aksi cukup baik dipamerkan Mount pada hari ini (kelmarin). Dia sudah menunggu terlalu lama untuk menamatkan kemarau jaringan, jadi saya gembira kerana dia berjaya lakukannya,” ujar pengendali dari Jerman itu. – AGENSI