PETALING JAYA – Setiap orang barangkali ada obsesi melampau terhadap seorang bintang pujaan masing-masing walaupun diri sendiri berstatus selebriti.
Situasi sama berlaku kepada penyanyi Britain popular Adele yang mendedahkan sanggup menyimpan gula-gula getah yang pernah dikunyah dan diludah diva pop tersohor, Celine Dion.
Bukan hanya menyimpan, pelantun lagu Easy On Me itu bahkan membingkaikan benda menjijikkan tersebut dan memaklumkan, bangga memilikinya sisa buangan itu.
“Ini agak hebat,” katanya sambil menunjukkan sebuah bingkai terlekat gula-gula getah kunyahan penyanyi yang cukup popular dengan lagu My Heart Will Go On tersebut kepada wartawan yang menemubualnya dalam segmen Vogue, 73* Questions With Adele.
Dedahnya, Celine Dion merupakan antara penyanyi kegemarannya dan rakan baiknya yang merupakan seorang pengacara, James Corden membantunya mendapatkan ‘barang rare’ itu.
“James Corden yang merupakan kawan saya dan dia bikin program Carpool Karaoke. Saya pun pernah terlibat dalam program itu.
“Dia pernah buat (program itu) dengan Celine dan tahu sangat betapa saya sangat meminatinya.
“Jadi, dia (James) meminta Celine ludah gula-gula getah yang telah dikunyahnya atas kertas dan membingkaikannya untuk saya.
“Ini adalah possesion (pemilikan) yang paling saya banggakan,” katanya.
Dalam pada itu, seminggu selepas dilancarkan, single pertamanya selepas enam tahun menyepi, Easy On Me dijangka meroket di tangga pertama carta Billboard Hot 100 minggu ini.
Sehingga artikel ini ditulis, klip video rasmi lagu itu telah meraih 110 juta tontonan dalam laman perkongsian video, YouTube. Satu pencapaian luar biasa buat lagu bergenre balada. – K! ONLINE