RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) menjumpai 969 helai pakaian wanita yang dipercayai ditinggalkan oleh penyeludup di belakang sebuah rumah di Kampung Che Da’ah, Gual Tok Deh di sini semalam.
Rampasan barangan seludup yang bernilai RM38,760 itu dilakukan oleh sepasukan anggota PGA pada pukul 8.30 malam.
Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, anggota PGA bergegas ke lokasi itu selepas menerima maklumat mengenai penemuan barangan tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di belakang rumah itu telah menjumpai longgokan guni-guni yang mengandungi pakaian wanita yang disyaki di seludup dari negara jiran.
“Kesemua barangan rampasan dibawa balik ke Kompeni Taktikal PGA, Taman Bakti di sini untuk pemeriksaan lebih lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nor Azizan, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE