PETALING JAYA – Tiga tahun menyulam percintaan, pasangan sama cantik sama padan, Sweet Qismina dan Adam Lee hari ini selamat mengikat tali pertunangan.
Majlis yang berlangsung petang tadi di sebuah rumah persendirian di Ampang, Selangor dihadiri 20 orang tetamu dalam kalangan ahli keluarga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Bertemakan putih dan songket, majlis pertunangan turut memberi makna bahagia buat Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi yang turut menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-24 tahun hari ini.
“Alhamdullilah kami selamat bertunang. Terima kasih atas doa semua,” kata Sweet ringkas ketika dihubungi Kosmo Online!.
Pada majlis tersebut, Adam Lee menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak perempuan.
Tambah Sweet, mereka mengikat tali pertunangan selama setahun dan akan mengumumkan tarikh perkahwinan kelak.
“Perancangan atau keputusan untuk nikah belum ada lagi. Kita selesaikan yang ini dulu (bertunang),” katanya.
Terdahulu, pasangan itu menjalinkan cinta sejak 2018 selepas Sweet mempelawa Adam atau nama Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 27, menemaninya ke sebuah anugerah berprestij. – K! ONLINE