LIVERPOOL – Pertembungan epik menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford malam ini adalah peluang keemasan buat bintang Liverpool, Mohamed Salah membuktikan kehebatannya.
Ia juga dilihat sebagai pentas pertarungan untuk menentukan siapa peledak terbaik EPL antara bintang United selaku pemenang lima Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo atau Salah yang ketika ini disebut-sebut sebagai pemain terbaik di dunia.
Mesin gol Mesir berusia 29 tahun itu seakan-akan sudah bersedia untuk memberikan segala-galanya buat The Reds dalam aksi tersebut selepas mendedahkan keinginannya untuk menamatkan kariernya di Anfield.
“Saya mahu terus berada di sini sehingga hari terakhir karier bola sepak saya. Namun, ia bukan dalam tangan saya kerana kelab yang akan menentukan mengenainya.
“Saya tidak membayangkan diri saya beraksi menentang Liverpool. Saya tidak mahu bercakap lagi mengenai perkara ini kerana ia membuatkan saya berasa sedih,” kata Salah yang akan tamat kontrak hujung musim depan.
Kenyataan itu semestinya membakar semangat Salah yang berpeluang untuk menamatkan perbandingan kehebatan antara dirinya dengan Ronaldo jika dia berjaya meledak gol ke atas United malam ini.
Jika berjaya, Salah akan merekodkan satu lagi pencapaian hebat dengan menjaringkan gol dalam 10 perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan buat Liverpool.
Kelebihan juga dilihat lebih memihak kepada The Reds selepas berjaya mencatat dua kemenangan, tiga seri dan hanya satu kekalahan daripada enam pertemuan terakhir dengan The Red Devils.
Sementara pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan, beliau mempunyai strategi untuk mengekang jentera serangan United dan cuba memalukan lawan tersebut di laman sendiri.
“Saya akui bahagian serangan United memang tidak masuk akal tetapi ia tidak bermakna kami tidak boleh mengekang mereka. Saya ada cara dan tidak sabar untuk memulakan perlawanan,” jelasnya.– AGENSI