PETALING JAYA – Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat mendakwa kerajaan Arab Saudi membenarkannya mengerjakan umrah seperti seorang wanita.
Nur Sajat memberitahu, dia tidak pernah didiskriminasi di Tanah Suci Mekah semasa menunaikan ibadah umrah.
“Sampai sahaja saya di sana, memang di pasport tertera menyatakan saya sebagai seorang lelaki tetapi saya lampirkan bersama surat yang menyatakan saya sudah tukar jantina.
“Kemudian saya diminta untuk memakai hijab dan pergi ke bahagian wanita bagi menunaikan umrah,” katanya dalam prorgam ‘What’s Going On Malaysia?’ yang dihoskan pelawak tanah air, Harith Iskander secara ‘Live’ di Facebooknya sebentar tadi.
Jelasnya, proses ibadah tersebut juga berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang timbul.
“Perjalanan saya dalam mengerjakan umrah sangat dipermudahkan, yelah kita ke sana untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Alhamdulillah saya dapat melakukan sebanyak dua kali ibadah umrah sepanjang tempoh saya berada di sana,” ujarnya.
Katanya, dia amat bersyukur di atas kemudahan dalam mengerjakan ibadah itu di samping dapat mencium batu Hajarul Aswad. – K! ONLINE