fbpx

Quartararo sambar kejuaraan dunia MotoGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Quartararo memastikan kejuaraan dunia MotoGP 2021 menjadi miliknya biarpun saingan masih berbaki dua perlumbaan.

PETALING JAYA – PELUMBA pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo memastikan gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2021 menjadi miliknya selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Emilia Romagna di Litar Misano sebentar tadi di tempat keempat.

Keputusan itu menyaksikan dia memiliki perbezaan 68 mata ke atas pencabar terdekat dari pasukan Ducati, Francesco Bagnaia yang gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan ke-23.

Biarpun berbaki dua perlumbaan lagi, pelumba kelahiran Perancis itu sudah mampu menarik nafas lega selepas merangkul kejuaraan dunia pertama dalam karienya apabila mengumpul 267 mata setakat ini.

Quartararo yang memulakan perlumbaan di petak ke-15 langsung tidak berputus asa apabila menampilkan tunggangan mantap untuk memintas seorang demi seorang pelumba di hadapan sebelum menamatkan saingan di tempat keempat.

“Sukar untuk ungkap dengan kata-kata mengenai perasaan saya ketika ini kerana ia sesuatu yang cukup hebat. Saya sangat terharu dengan kemenangan ini memandangkan ia adalah impian sejak bergelar pelumba.

“Saya gembira kerana keluarga ada bersama untuk nikmati kejayaan muncul juara. Sudah tentu kami akan nikmati kejuaraan ini bersama sehingga ke penghujung musim,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez muncul juara GP Emilia Romagna, sekali gus kemenangan kedua berturut-turut selepas turut memenangi perlumbaan GP Americas 4 Oktober lalu.

Mengiringi Marquez di podium adalah rakan sepasukannya, Pol Espargaro yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua diikuti pelumba pasukan Avintia, Enea Bastianini di tempat ketiga.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI