KUALA LUMPUR – Aksi dua pemandu kenderaan yang memandu dalam keadaan bahaya di jalan raya mengundang padah selepas kedua-dua mereka ditahan semalam.
Dalam kejadian di Jalan Kuching pada Jumaat lalu itu telah berjaya dirakam menerusi papan pemuka sebuah kereta yang melalui jalan tersebut sebelum ia tular di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar.
“Kejadian tersebut melibatkan dua buah kenderaan jenis Hyundai Elantra dan Perodua Myvi.
“Bertindak atas aduan, polis telah berjaya mengesan kedua-dua pemandu kenderaan tersebut sebelum, kedua-dua mereka ditahan pada pukul 10 malam selepas memberi keterangan di Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kedua-dua lelaki terbabit berusia 47 dan 33 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan bahaya.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati, pemandu Perodua Myvi terbabit disahkan positif dadah jenis Methamphetamine.
“Suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan akan dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial menerusi sebuah video berdurasi 26 saat yang memaparkan dua buah kenderaan memandu secara merbahaya. – K! ONLINE.