LONDON – Manchester United kemungkinan tidak dapat menurunkan Bruno Fernandes ketika melayan kunjungan Liverpool pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini selepas disahkan mengalami kecederaan ringan.
Perancang utama skuad The Red Devils itu ditimpa kecederaan ketika pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Atalanta, kelmarin.
Bagaimanapun, keadaan yang menimpa Fernandez meresahkan Solskjaer dan tidak pasti sama ada dapat menurunkan pemain tersebut atau tidak ketika berdepan Liverpool di Old Trafford.
“Perlawanan seperti Rabu lalu menyebabkan kecederaan ringan terhadap dua atau tiga pemain. Saya memberikan semua pemain masa dan saya harap mampu membuat keputusan tepat untuk menurunkan kesebelasan terbaik nanti.
“Fernandes salah seorang pemain yang kemungkinan tidak dapat diturunkan tetapi dia telah melakukan terbaik untuk kembali bersedia.
“Mereka semua telah memberikan yang terbaik pada minggu ini dan mari kita mempamerkan satu lagi aksi terbaik di Old Trafford,” kata Solskjaer.
Mengulas pertembungan berdepan Liverpool, Solskjaer menuntut pemainnya tidak melakukan sebarang kesilapan dan tidak memberi ruang serta peluang kepada Liverpool untuk mengawal perlawanan di Old Trafford.
“Kami memberi peluang kepada Atlanta dan mereka menjaringkan dua gol. Jadi, anda tidak boleh mengulangi kesilapan itu ketika berdepan Liverpool dan tidak boleh beri mereka peluang.
“Saya tidak bersetuju semua orang mengatakan kami bermain dengan begitu teruk. Jadi, kami tidak akan beri Liverpool seinci pun untuk melakukan percubaan,” tegasnya. – AGENSI