IPOH – Allahyarham Mamat Khalid telah mencapai apa yang diidamkan dalam bidang seni, malah berada pada kemuncak kariernya sepanjang bergelar pengarah filem.
Kejayaan pengarah filem Hantu Kak Limah itu juga lebih hebat berbanding abangnya, kartunis tersohor negara, Datuk Lat apabila mengakui sendiri perkara itu.
Kata Datuk Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid, adik bongsunya itu merupakan pencinta seni tegar dan bakatnya terserlah sejak kecil.
Lat berkata, jika berkumpul bersama adik-beradik, Allahyarham Mamat gemar bercerita dan membuatkan orang ketawa dengan celotehnya.
“Dia adik bongsu dan dilahirkan di Kampong Sungai Rokam setelah kami sekeluarga berpindah ke Ipoh dari Kampong Lalang, Kota Bharu di Gopeng.
“Dia memang budak Ipoh yang membesar di kampung. Apabila melihat karya Mamat seperti Man Laksa saya tahu itu cerita orang-orang kampung yang memang dekat pada kami,” ujarnya ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampong Paloh di sini tadi. -K! ONLINE