LONDON – Seorang wanita mendedahkan bahawa dia mempunyai jiran bersikap biadab yang gemar melempar najis kanak-kanak dan anjing ke arah pintu hadapan rumahnya, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Menerusi perkongsian di TikTok, wanita tersebut menyatakan bahawa sikap biadab jirannya itu berlaku setiap hari.
Dalam klip video yang dikongsi, jirannya itu dilihat sedang mengaut najis anjing di halaman rumahnya dan melemparnya ke arah rumah wanita berkenaan.
“Jiran dari neraka,” tulis keterangan video tersebut.
Video itu menjadi tular dengan menerima tontonan melebihi 122,000 kali di samping pelbagai komen ditinggalkan.
Selain itu, dalam satu video berlainan, jiran yang sama dilihat melempar najis anaknya ke arah halaman rumah wanita berkenaan.
“Letak sahaja (najis) betul-betul di hadapan pintu rumahnya supaya dia terpijak najis itu apabila keluar dari rumah,” komen seorang pengguna.
“Anda perlu bersemuka dengannya. Itu adalah hak anda. Jika saya di tempat anda, saya pasti akan muncul di pintu rumahnya dalam masa beberapa saat,” kata seorang lagi. – Agensi