PETALING JAYA – Telemovie pertama lakonannya belum ditayangkan namun Allahyarham Mamat Khalid sudah ‘mengikat’ pensohor media sosial, Azman Naim untuk naskhah terbaharu bawah jenama Kampung Pisang yang dijadual menjalani penggambaran 29 Oktober ini.
Azman berkata, walaupun masih awal untuk mengukur bakat, Allahyarham memberi sepenuh kepercayaan kepadanya membawakan karakter utama iaitu adik Cik Purnama, Gerhana dalam Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.
“Kami sebenarnya dah bersiap sedia untuk memulakan penggambaran Kampung Pisang Berbuah Dua Kali pada 29 Oktober ini.
“Kalau ikut katanya, saya akan diberi peranan utama dalam filem itu yang juga debut Gerhana, selaku adik kepada Cik Purnama lakonan Dewa Sapri.
“Dari awal saya dah tanya Abang Mamat, ‘bos, nampak macam filem kali ini spotlight (sorotan) banyak pada saya. Berbaloikah sebab saya orang baharu, tak pernah ada filem langsung’.
“Boleh pergi ke cerita itu nanti, risau tiada orang tengok sebab saya tak popular. Dia jawab mudah. Kita buat dia. Itu perkataan yang dia luahkan,” katanya menerusi perkongsian dalam media sosial.
Azman Naim atau nama lengkapnya Mohd. Nur Azman Naim, 36, yang terkenal dengan lagu saduran My Way mengakui bertuah apabila berpeluang merasai pengalaman mengenali dan bekerja dengan sutradara prolifik itu.
Terdahulu, awal September lalu Allahyarham pernah membuat kenyataan ‘menyambar’ Azman menjayakan kempen pesanan khidmat masyarakat yang sudah disiarkan dalam televisyen sebelum disusuli telemovie Kampung Pisang Lockdown yang akan ditayangkan, akhir tahun ini.
Katanya, Azman boleh pergi jauh kerana merendah diri dan sopan selain mempunyai aura tersendiri yang mampu memeriahkan lagi keluarga Kampung Pisang.
Sementara itu, usahawan tersebut mendedahkan kali terakhir Mamat menghubunginya adalah pada 21 Oktober lalu bagi memaklumkan mengenai perancangan meminta dia berduet dengan seorang penyanyi wanita untuk lagu latar filem tersebut.
“Awak kena nyanyikan lagu ini, Kehebatan Cinta nyanyian Datuk Jamal Abdillah dan Francesca Peter untuk Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.
“Masuk Studio 30 Oktober di mana saya akan berduet dengan pasangan saya dalam filem. Siapa? Yang itu tunggu orang yang berkenaan sendiri mengaku.
“Allahyarham sempat kongsikan gambar rumah saya sebagai Gerhana dari lokasi penggambaran dalam WhatsApp kumpulan kami,” tambahnya lagi.
Sebelum itu dia sempat berjumpa Mamat di pejabatnya usai penggambaran filem berkenaan untuk memaklumkan dia mahu pulang ke Johor memandangkan babaknya sudah tamat.
Namun Allahyarham mengajaknya berborak hingga berjam-jam kerana Mamat berkongsi pelbagai cerita serta nasihat mengenai isu semasa hingga hal berkaitan seni.
“Saya beritahu nak balik tapi kena tahan dengan abang Mamat hampir empat jam. ‘Tak rugged la balik’, ulang-ulang dia cakap.
“Pada waktu itu, dia luah macam-macan pada saya berkaitan seni, sejarah, politik dalam alam Melayu dari zaman dulu hingga sekarang.
“Sebenarnya saya agak pelik waktu itu. Sehari sebelum itu dia ada cakap kau ada ‘flare’ (letusan) yang berulang kali dia cakap masa makan. Saya pun pening apa benda itu ‘flare’.
“‘Flare’ bukan fotogenik tapi filem, kamera suka kau. Senang tangkap dia kata. Saya lagi makin pening,” tambahnya.
Pada masa sama, Azman bersyukur dipertemukan dengan seniman agung alam melayu zaman ini yang meninggalkan bukan sekadar seni semata-mata.
Dedah bapa kepada dua cahaya mata itu, dia punya sebab tersendiri menerima lamaran sutradara berkenaan walaupun sebelum itu ramai produser lain terlebih dulu mengajukan tawaran berlakon.
“Mengapa saya terima terus lamaran abang Mamat sedangkan ramai lagi pengarah dan penerbit yang datang dulu.
“Satunya adalah kerana dia nak watak Gerhana itu 100 peratus diri saya, tapi muda 10 ke 20 tahun, darah muda, ganas, kasar, sukar dijangka, bijak dan ‘rebel’, hanya tukar nama Azman kepada Gerhana.
“Saya jadi kekal macam diri saya, jadi hasilnya semulajadi. Dia bijak meletakkan seseorang di tempat yang paling sesuai.
“Terlalu banyak yang dia kongsi sepanjang saya bersama dia walaupun dalam waktu yang singkat. Insya- Allah sampai masa saya huraikan,” ulas Azman yang menyatakan serasi dengan Allahyarham walaupun baru mengenalinya.
Allahyarham Mamat, 58, menghembuskan nafas terakhir tengah malam tadi akibat serangan jantung. – K! ONLINE