PETALING JAYA – Keunikan vokal Azman Naim yang dipertonjolkan menerusi pelbagai lagu parodi sehingga sutradara terkenal, arwah Mamat Khalid ‘menyambarnya’ untuk melebarkan bakat dimiliki di persada dunia seni.
Namun siapa sangka, jodoh mereka tidak berpanjangan selepas Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohd. Khalid, 58, dilaporkan meninggal dunia sekitar pukul 12.30 tengah malam tadi ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak.
Berkongsi kenangan terakhir bersama Allahyarham, Azman menyifatkan arwah merupakan seniman agung alam dimana hasil seninya bukan sekadar seni semata-mata.
“Allah temukan dan Allah juga pisahkan. Pada asalnya saya nak minta balik Johor tapi kena tahan dengan abang Mamat selama hampir 4 jam. Dia cakap tak ‘Rugged’ la balik, pada waktu ini, dia luah macam-macam pada saya berkaitan seni, sejarah, politik dalam alam Melayu dari zaman dulu hingga sekarang.
“Pelbagai nasihat diberikan dan sehari sebelum itu dan saya agak pelik dia beri nasihat pada waktu itu,” kongsinya di media sosial Facebook.
Dalam pada itu, Azman turut meluahkan mengapa dia menerima lamaran arwah Mamat Khalid untuk berlakon.
“Salah satu sebabnya, abang Mamat nak watak Gerhana itu seratus peratus diri saya, tapi muda 10 hingga 20 tahun. Darah muda, ganas, kasar, ‘Unpredictable’, ‘Knowledgeable’, ‘Curious’ dan ‘Rebel’.
“Hanya tukar nama Azman kepada Gerhana dan jadi lebih muda. Saya jadi kekal macam diri saya dan hasilnya akan ‘natural’. Dia bijak meletakkan seseorang di tempat yang paling sesuai.
“Kami sebenarnya dah bersedia untuk melakukan pengambaran ‘Kampung Pisang berbuah 2 kali’ pada 29 oktober ini. Kalau ikut katanya, saya akan diberi ‘lead role’ dalam filem tu. Debut saya sebagai Gerhana, adik cik Purnama.
“Dari awal saya dah tanya abg mamat, “Bos, nampak mcm movie kali ni spotlight byk kat saya. Is it worth it?” . Saya orang baru, tak pernah ada filem, boleh pergi ke cerita itu nanti? Risau tiada orang tengok sebab saya tak popular. Dia hanya menjawab “kita buat dia.”
Azman turut memberitahu, kali terakhir Allahyarham menghubunginya ialah pada Khamis lalu.
“‘You gonna sing this song’ -kehebatan cinta Jamal Abdillah dan Francissca Peter (untuk Kg Pisang Berbuah 2 kali). Masuk studio 30 Oktober ini. Saya akan berduet dgn ‘female partner’ saya dalam filem tu. Siapa? Yang tu tunggu orang yang berkenaan sendiri mengaku.
“Seni sebagai alat membuka minda. Bukan sekadar hiburan semata-mata. Sebab tu saya mudah ‘masuk’ dengan abang Mamat Khalid. “Tak kira kau niaga atau dalam bidang bisnes kau ke atau kau dalam seni, teruskan keikhlasan dan kejujuran bila buat sesuatu. ‘Be Yourself’ itu antara nasihat dia,” ujarnya.
Allahyarham Mamat Khalid sebelum ini pernah memberitahu dia tertarik untuk mengambil Azman Naim berlakon dalam satu projek khas kerana yakin lelaki itu sangat berbakat dan istimewa.
Jenazah Allahyarham Mamat Khalid akan disolatkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Kampung Paloh, Ipoh hari ini. – K! ONLINE.