fbpx

Tinggal sehelai sepinggang selepas rumah musnah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rusli melihat keadaan basikal anaknya yang turut terbakar dalam kejadian kebakaran di Kampung Kuala Repas, dekat sini semalam. /FOTO ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

BENTONG – Baru hendak bangkit semula selepas terkesan akibat pandemik Covid-19, seorang lelaki berhadapan ujian besar apabila rumah didiami bersama keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Repas di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, empat buah rumah termasuk rumah yang didiami Rusli Abu,57, bersama isteri dan tiga anaknya sejak 20 tahun lalu musnah terbakar menyebabkan dia dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Rusli berkata, dalam keadaan yang sukar dengan pendapatan tidak menentu dia yang melakukan kerja sendiri berasa buntu khususnya dalam mencari kediaman baharu.

“Saya tidak tahu ke mana hendak pergi lagi lepas ini kerana tiada rumah saudara mara dekat sini dan buat sementara waktu kami menumpang di dewan kampung.

“Semasa kejadian api marak terlalu cepat dan saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang termasuk kad pengenalan menyebabkan kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, dia telah meninjau keadaan di kawasan rumahnya selepas kebakaran dan mendapati tiada lagi barang yang boleh digunakan termasuklah basikal yang digunakan anaknya.

Menceritakan mengenai kejadian, dia berkata, semasa kejadian dia dan isteri serta anaknya baru bersiap untuk makan tengah hari di dalam rumah.

“Ketika baru hendak makan, saya terdengar bunyi di bahagian belakang rumah dan apabila saya buka pintu saya nampak api dan segera menyuruh ahli keluarga keluar menyelamatkan diri.

“Saya cuba ke belakang rumah memadamkan api menggunakan paip, bagaimanapun api telah sampai ke bumbung rumah marak dengan begitu cepat menyebabkan saya tidak dapat menyelamatkan barang-barang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bentong, Mohd. Zamri Abdul Ghani berkata, dalam kejadian berkenaan sebanyak empat buah rumah sederet dan sebuah bengkel besi musnah kira-kira 90 peratus akibat kebakaran. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI