LONDON – Sejenis pil ekstasi yang didakwa diinspirasikan daripada siri Netflix popular, Squid Game giat dipromosikan oleh pengedar dadah kepada kanak-kanak menerusi laman sosial Facebook, lapor akhbar Daily Star semalam.
Ibu bapa yang bimbang mendakwa, pengedar dadah menggunakan populariti drama bersiri dari Korea Selatan itu untuk memasarkan dadah tersebut kepada murid sekolah.
“Anak saya yang baru berusia 15 tahun dihubungi melalui aplikasi Messenger berkenaan pil tersebut.
“Profil Facebook milik individu tersebut adalah palsu namun anak saya ditanya adakah dia berminat untuk membeli pil Squid Game. Saya amat bimbang kerana mereka (pengedar dadah) menjualnya umpama menjual gula-gula,” kata seorang ibu.
Squid Game merupakan drama bersiri yang memaparkan kehidupan sekumpulan individu yang dibebani hutang menyertai satu permainan kanak-kanak ganas yang boleh mengorbankan nyawa mereka.
Ia merupakan salah satu siri paling popular pernah disiarkan Netflix.
Awal minggu ini, tiga orang kanak-kanak dari Kolej George-Sand di Crégy-lès-Meaux, Perancis dibawa ke hospital selepas dipijak oleh pelajar lain gara-gara meniru aksi permainan ‘Squid Game’ di koridor sekolah. – AGENSI