JERANTUT – Pasangan warga emas di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, Ibrahim Ali, 68, dan Bedah Rusi, 68, amat merindui lapan orang cucu mereka yang masih tinggal di Bukit Beruntung, Selangor selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka akibat jangkitan Covid-19 baru-baru ini.
Ibrahim yang merupakan peneroka Felda berkata, sudah dua tahun dia dan isterinya tidak berjumpa cucu mereka menyebabkan perasaan rindu semakin menebal, malahan hati berasa pilu mengenangkan anak-anak berkenaan telah kehilangan ayah dan ibu.
“Perasaan rindu ingin bersua muka dengan cucu kami walaupun cuma seketika tidak terucap dengan kata-kata lagi, tetapi kami hendak ke sana (Bukit Beruntung) agak jauh dari sini.
“Sebelum ini kami yakin selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri membolehkan kami berjumpa cucu sekiranya mereka pulang ke Felda Kota Gelanggi Dua, tetapi sehingga kini mereka tidak muncul lagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kosmo! pada 20 Julai lalu melaporkan, Noraini Ibrahim, 43, yang dijangkiti Covid-19 meninggal dunia pada 18 Julai, manakala suaminya, Ben Yajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai lalu akibat jangkitan sama.
Ekoran itu anak sulung pasangan tersebut iaitu Nazurah Nabilah Ben Yajeed, 19, yang masih menuntut di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang di Perak bertindak menjaga adik-adiknya dengan dibantu ibu saudara mereka.
Menurut Ibrahim, pada masa ini Nazurah Nabilah bersama adik-beradiknya, Muhammad Muzakkir, 18; Nurhani Nabilah, 16; Nurnasuhah Nabilah, 14; Muhammad Benjamin, 13; Muhammad Bennazir Sulaiman, 10; Nur Rawdhah Nabilah, 8, dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 4, tinggal bersama ibu saudara mereka di Bukit Beruntung.
Katanya, walaupun cucunya masih belum pulang, dia tidak terkilan kerana kemungkinan mereka sibuk menguruskan pengajian dan persekolahan yang akan dibuka bulan ini.
Ibrahim berkata, sebelum ini, sejak kematian anak dan menantunya pada pertengahan Julai lalu, mereka masih lagi belum dapat berjumpa dengan cucunya di Bukit Beruntung ekoran sekatan rentas negeri.
“Jika mereka tidak pulang, saya dan isteri akan menziarahi mereka di Bukit Beruntung dalam masa terdekat untuk bertemu dan menyelesaikan beberapa urusan.
“Saya perlu mengajak anak saya memandu kereta kerana saya tidak tahu arah perjalanan ke sana, lagipun saya mengalami masalah penglihatan menyebabkan tidak boleh memandu jarak perjalanan yang jauh,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, dia perlu berjumpa dengan cucunya bagi menguruskan beberapa perkara berkaitan keluarga termasuklah tawaran bantuan oleh kerajaan negeri Pahang iaitu Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma.
“Tapak rumah RRP yang dicadangkan sudah ada di kampung asal arwah ibu mereka iaitu di Felda Kota Gelanggi 2, di sini berdekatan dengan rumah saya.
“Saya perlu berjumpa dengan Nazurah Nabilah untuk urusan tandatangan pemilikan tapak projek RRP yang bakal bermula dalam masa terdekat ini,” tambahnya.