MEMILIKI zuriat lebih daripada seorang semestinya antara hal yang menjadi impian ramai wanita di dunia.
Namun, perjalanan untuk menambah cahaya mata bagi sesetengah kaum Hawa bukanlah semudah yang disangka.
Ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya atau menjalani rawatan untuk merasai kehadiran zuriat dalam rahim sendiri.
Begitulah juga perjalanan berliku yang dilalui Misha Omar demi menambah cahaya mata kedua. Banyak usaha sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu, namun semua itu terpaksa ditangguh buat seketika demi memberi laluan terhadap kelangsungan karier yang dicintai juga dengan sepenuh hati.
Secara dasar, Misha seolah-olah menutup satu punca rezeki yang Maha Esa, semata-mata mahu menjaga reputasi sebagai seorang penghibur.
Izin suami
Kata pemilik nama sebenar Samihah @ Aisah Omar itu, keputusan untuk menunda rawatan kesuburan yang sednag dijalani sebenarnya sudah mendapat restu dan izin suami, Firos Ezzwan Rossly.
“Bila saya suarakan niat tersebut kepada suami, alhamdulillah dia okey dan sangat memahami tentang cinta saya terhadap nyanyian.
“Nasib baik doktor juga tidak menghalang perkara ini. Insya-Allah jika ada rezeki untuk mendapatkan zuriat, pasti Tuhan akan permudahkan,” kata pelantun lagu Sampai Bila itu.
Akui anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, kerisauan terhadap alahan ketika hamil juga antara yang membelenggu diri sekiranya dia sudah mula bekerja, terutama bagi menjayakan
Konsert OSK Bersama Bintang Misha Omar di Istana Budaya pada 30 Oktober depan.
“Selain cinta terhadap nyanyian, saya juga bimbang akan mengalami alahan teruk sekiranya disahkan hamil nanti,” ujar penyanyi berusia 39 tahun itu.
Tuturnya, dia sudah beberapa kali memasang impian untuk menganjurkan sebuah konsert untuk para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong sejak dia mula bertapak dalam industri seni tanah air.
Justeru, dia enggan segala impian dan perancangannya tergendala hanya kerana keinginannya menambah cahaya mata.
“Perkara itu sekali gus dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi sebagai seorang penyanyi dan menghampakan peminat yang sudah lama menanti konsert istimewa daripada saya.
“Jadi, ini pengorbanan yang perlu saya tunaikan. Tentang anak, saya boleh tunggu, insya-Allah rawatan kesuburan akan diteruskan selepas berakhirnya konsert pada 30 Oktober nanti,” katanya yang tidak terkilan dengan keputusan tersebut.
Kongsi memori
Tanpa sedar, Misha juga memberitahu dia bakal menyambut ulang tahun ke-19 penglibatannya dalam industri sebagai seorang penyanyi.
Menyingkap sejenak memorinya sepanjang 19 tahun bergelar anak seni, Misha sempat berkongsi kenangannya bersama beberapa penyanyi tersohor tanah air seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini.
Tuturnya, pertemuan dengan Biduanita Negara itu antara pengalaman yang tidak akan dilupakan buat selama-lamanya.
“Jika nak cerita tentang kenangan manis dalam perjalanan seni, memori bertemu dengan Sharifah Aini antara yang masih melekat dalam fikiran.
“Antara pesanannya yang paling saya ingat adalah jangan jadi artis yang membazir dan hidup sederhana.
“Gaya hidup jangan lebih daripada pendapatan, nanti merana,” katanya yang masih memegang kata-kata tersebut sehingga hari ini.
Tambahnya, momen tersebut turut mengajarnya untuk sentiasa berkata perkara yang baik-baik kepada pendatang baru hari ini.
“Semua itu mendidik saya untuk berkata hal yang baik-baik kepada artis baharu hari ini.
“Secara tidak langsung nasihat sebegitu boleh beri semangat kepada artis baharu untuk terus mewarnai industri seni tanah air dengan bakat dan karya-karya hebat,” tuturnya.