JERANTUT – Pasangan warga emas di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, Ibrahim Ali, 68, dan Bedah Rusi, 68, amat merindui lapan orang cucu mereka yang masih tinggal di Bukit Beruntung, Selangor selepas kehilangan kedua ibu bapa mereka akibat jangkitan Covid-19 baru-baru ini.
Ibrahim yang merupakan peneroka Felda berkata, sudah dua tahun dia dan isterinya tidak berjumpa cucu mereka menyebabkan perasaan rindu semakin menebal malahan hati berasa pilu mengenangkan anak-anak berkenaan telah kehilangan ayah dan ibu.
“Perasaan rindu ingin bersua muka dengan cucu kami walaupun cuma seketika tidak terucap dengan kata-kata lagi tetapi kami hendak ke sana (Bukit Beruntung) agak jauh dari sini.
“Sebelum ini kami yakin selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri membolehkan kami berjumpa cucu sekiranya mereka pulang ke Felda Kota Gelanggi Dua, tetapi sehingga kini mereka tidak muncul lagi,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini hari ini.
Noraini Ibrahim,43, yang dijangkiti Covid-19 meninggal dunia pada 18 Julai lalu, manakala suaminya, Ben Yajeed Bernie, 45, meninggal dunia awal dua hari, iaitu pada 16 Julai lalu akibat jangkitan yang sama.
Ekoran itu anak sulung pasangan tersebut iaitu Nazurah Nabilah yang masih menuntut di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang bertindak menjaga adiknya-adiknya dengan dibantu oleh ibu saudara mereka.
Menurut Ibrahim pada masa ini lapan orang cucunya iaitu Nazurah Nabilah Ben Yajeed, 19, bersama adik beradiknya, Muhammad Muzakkir, 18, Nurhani Nabilah, 16, Nurnasuhah Nabilah, 14, Muhammad Benjamin, 13, Muhammad Bennazir Sulaiman, 10, Nur Rawdhah Nabilah, 8, dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 4, tinggal bersama ibu saudara mereka di Bukit Beruntung, Selangor.
Katanya, walaupun cucunya masih belum pulang dia tidak terkilan kerana kemungkinan mereka sibuk menguruskan pengajian dan persekolahan mereka yang akan dibuka pada bulan ini.
Ibrahim berkata, sebelum ini, sejak kematian anak dan menantunya akibat Covid-19 pada pertengahan bulan Julai lalu, mereka masih lagi belum dapat berjumpa dengan cucunya di Bukit Beruntung ekoran sekatan rentas negeri.
“Jika mereka tidak pulang saya dan isteri akan menziarahi mereka ke Bukit Beruntung dalam masa terdekat ini untuk bertemu dan menyelesaikan beberapa urusan.
“Saya perlu mengajak anak saya memandu kereta kerana saya tidak tahu arah perjalanan ke sana dan lagipun saya mengalami masalah penglihatan menyebabkan tidak boleh memandu jarak perjalanan yang jauh,” ujarnya.
Sementara itu Ibrahim berkata, dia perlu berjumpa dengan cucunya bagi menguruskan beberapa perkara berkaitan keluarga termasuklah tawaran bantuan oleh kerajaan negeri Pahang iaitu Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma.
“Tapak rumah RRP yang dicadangkan sudah ada di kampung asal ibu mereka (arwah Noraini Ibrahim) iaitu di Felda Kota Gelanggi 2, di sini berdekatan dengan rumah saya.
“Saya perlu berjumpa dengan anak sulung iaitu Nazurah Nabilah untuk urusan tanda tangan pemilikan tapak projek RRP yang bakal bermula dalam masa terdekat ini,”ujarnya. – K! ONLINE