fbpx

Nak melancong, elak kena tipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan pengusaha pelancongan berlesen dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) semasa membuat tempahan pakej perkhidmatan pengangkutan, penginapan, pelancongan, tiket lawatan atau perkhidmatan bersampingan bagi mengelakkan kes penipuan.

MOTAC memberitahu, Pasukan Penguatkuasaan MOTAC telah membuat pemantauan berterusan termasuk di atas talian susulan dapatan tinjauan di Langkawi pada awal Oktober yang mendapati terdapat pelancong menggunakan khidmat pengusaha pelancongan tidak berlesen.

“Oleh itu, Keluarga Malaysia boleh membuat semakan melalui laman sesawang rasmi MOTAC sebelum membuat tempahan iaitu di www.motac.gov.my/semakan/tobtab.

“Sehingga kini, sebanyak 4,607 pengusaha pelancongan yang berlesen dengan MOTAC,” menurut kenyataan tersebut di sini hari ini.

Katanya, bagi pengusaha pelancongan berlesen pula diingatkan tidak menjalinkan kerjasama dengan mana-mana individu, ulat pakej, ‘freelance’ (pekerja bebas) dan agensi pelancongan tidak berlesen dalam menawarkan pakej pelancongan mahupun bayaran komisen atau jualan dan diskaun.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali, selaras dengan Peraturan 6(1)(f), Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992.

“Merujuk kepada Seksyen 5(2), Akta Industri Pelancongan (Akta 482), tiada seorang pun boleh menjalankan, mengendalikan, menganjurkan dirinya sebagai menjalankan, mengendalikan perniagaan pengendalian pelancongan atau perniagaan agensi pengembaraan melainkan jika ia merupakan sebuah syarikat dan pemegang lesen sah.

“Bagi kesalahan pertama sekiranya disabitkan kesalahan, denda maksimum adalah sebanyak RM500,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, denda maksimum RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI