Oleh NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR
JEMPOL – Seorang lelaki yang meninggal dunia selepas bertengkar mengenai hal peribadi di sebuah kedai memproses ayam di Kampung Serting Ilir, Batu Kikir di sini semalam disahkan disebabkan oleh serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, punca itu diketahui selepas bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Jempol pada pukul 9.45 pagi hari ini.
“Tiada sebarang kecederaan dikesan pada luaran dan dalaman si mati. Si mati mempunyai rekod penyakit jantung dan angin ahmar sejak tahun 2016,” katanya yang mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
Semalam seorang lelaki dilaporkan rebah dan meninggal dunia di sebuah kedai memproses ayam di Kampung Serting Ilir di sini.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Felda Pasoh 1, Simpang Pertang, Jelebu, sebelum itu terlebih dahulu bertengkar dengan seorang lelaki lain.
“Polis telah mengambil keterangan lelaki berkenaan dan semua saksi kejadian tersebut,” kata Chang Hook lagi.
Sementara itu, dalam kes berlainan, beliau berkata, seorang lelaki berusia 39 tahun telah dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu merentas negeri tanpa vaksinasi lengkap dan tanpa kebenaran polis.
Lelaki itu dikenakan kompaun tersebut semasa pemantauan SOP yang dijalankan di Kilometer 35 Jalan Bahau-Kemayan di sini pada pukul 12.40 tengah hari tadi. – K! ONLINE