MELAKA – Kira-kira 500 penduduk yang terkandas dalam bencana banjir termenung di kawasan Batu Berendam di sini sejak kelmarin mendapat bantuan awal kit makanan daripada Pasar Raya Econsave Cash & Carry (Econsave).
Pegawai Perhubungan Awam Econsave, Azhar Dorajah berkata, kit makanan itu disalurkan kepada penduduk di sekitar Taman merdeka, Taman Merdeka Jaya dan Taman Tamby Chik Karim.
“Kami mendengar keluhan daripada penduduk di kawasan Batu Berendam yang memberitahu mereka sukar keluar untuk membeli barang keperluan gara-gara kediaman mereka masih digenangi banjir termenung.
“Ketika kami datang menghulurkan bantuan kit makanan bermula pukul 8 pagi, air banjir masih di paras lutut dan semua penduduk bertungkus-lumus cuba menyelamatkan harta benda yang di kediaman masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya membekalkan makanan kering kepada penduduk termasuk aneka biskut, mi segera dan roti yang mudah untuk dinikmati.
“Setiap kit makanan ini bernilai RM30 yang mengandungi pelbagai makanan kering memandangkan dalam keadaan bencana ini memang agak mencabar untuk memasak di dapur.
“Secara keseluruhan kita mengagihkan 500 kit bantuan makanan bernilai RM15,000 di kawasan tersebut dan usaha ini akan dilakukan secara berterusan di kawasan terjejas yang lain,” katanya. – K! ONLINE