PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melancarkan Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa pada November ini bagi mengatasi isu berkaitan buruh paksa di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pelan ini mengandungi empat matlamat strategik iaitu aspek kesedaran, penguatkuasaan, migrasi buruh dan akses kepada remedi dan perlindungan untuk mangsa.
Beliau berkata, kerjasama daripada pelbagai pihak penting terutama bagi menyebarkan maklumat sekali gus meningkatkan kesedaran awam mengenai isu buruh paksa.
“Isu buruh paksa ini memberikan imej yang buruk terhadap sektor pembuatan sarung tangan getah negara, di mana Malaysia adalah pengeksport utama yang menguasai 60 peratus pasaran global.
“Sektor ini juga menyumbang 51.1 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, beliau menyeru semua pihak dapat bersama-sama dengan kerajaan memastikan negara dapat menangani dan seterusnya membendung gejala buruh paksa dalam negara.
Menurutnya, beliau memandang serius isu sekatan import oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) terhadap produk berasaskan getah keluaran anak syarikat Supermax Corporation Bhd.
Ujarnya, sekatan itu dikenakan berdasarkan kepada siasatan US CBP yang mendapati bahawa syarikat tersebut mempunyai 10 indikator buruh paksa dalam operasi pembuatan mereka.
“Isu buruh paksa dalam sektor pembuatan sarung tangan getah mula dikaitkan dengan syarikat tempatan bermula pada bulan September 2019. Sehingga kini, tiga syarikat tempatan telah dikenakan sekatan, namun telah ditarik balik pada bulan Mac dan September tahun lalu.
“Saya dan Kementerian Sumber Manusia akan memberikan tumpuan terhadap perkara ini,” katanya. – K! ONLINE