DUNGUN – Meskipun usia sudah mencecah 64 tahun, Khalid Yusof tetap mengerah keringat turun ke laut mencari rezeki demi sesuap nasi sebagai awak-awak sebuah bot nelayan dengan upah harian sebanyak RM40.
Datuk kepada seorang cucu itu tetap menggagahkan diri bekerja sebagai awak-awak paling tua di dalam bot nelayannya kerana tidak mahu menyusahkan tiga anaknya yang kesemua mereka sudah berumah tangga.
Bagaimanapun, pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu menjejaskan pendapatannya selain kekangan cuaca yang tidak menentu khususnya pada musim tengkujuh.
“Musim tengkujuh dan laut bergelora menyebabkan saya tidak dapat turun ke laut dari Oktober tahun lalu hingga Februari lalu.
“Baru hendak bernafas, saya tidak dapat ke laut lagi pada bulan April dan Mei lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala Julai pula, kami sekeluarga dikuarantin hampir sebulan selepas salah seorang anak saya disahkan positif Covid-19,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Kuala Abang di sini baru-baru ini.
Khalid dan isterinya, Rohana Abdul Manaf, 57 merupakan penerima sumbangan Program Jelajah Ikhlas Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn Bhd.
Sementara itu, Ghazali Deraman, 53, terharu dengan keprihatinan program tersebut yang menyantuni dan memberi sumbangan kepada ibunya, Kiah Salleh, 83, yang menetap di Kampung Gemuruh, Tepoh, Kuala Nerus.
Dia yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, pelaksanaan PKP menyebabkan mereka kesempitan kewangan untuk meneruskan kehidupan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
“Kami terpaksa bergantung kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Kami juga tidak mampu menjelaskan bil air sehingga terpaksa mendapatkan bekalan air daripada sebatang anak sungai di kaki bukit berhampiran,” katanya. – K! ONLINE