fbpx

I Am Vash angkat protagonis wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Naskhah I Am Vash dijadualkan memulakan penggambaran pada Mei tahun depan dan dijangka menemui penonton menjelang 2023.

SEBUAH naskhah aksi jenayah bakal menemui penonton menjelang 2023 dengan membariskan kisah menarik serta wajah pelakon handal tempatan.

Siri I Am Vash merupakan projek jalinan kerjasama antara 108 Media iaitu syarikat penjana kewangan kandungan dan pengurusan hak media yang tertumpu kepada pasaran baharu dengan syarikat penerbitan premium, Revolution Media sebagai penerbit bersama.

Naskhah berkenaan berkisar tentang bandar Pelabuhan Klang yang dipenuhi jenayah sekitar era 1970-an.

Seorang pegawai polis wanita bernama Vash sentiasa menghadapi tekanan daripada masyarakat dan politik sambil dia cuba menyelesaikan kes terbesar sepanjang kariernya.

Kes berkenaan membabitkan ketua geng penjenayah yang membuat onar di seluruh negara demi memenuhi impiannya menguasai dunia kongsi gelap di rantau Asia Tenggara.

Sebagai projek yang diterajui pengarah Adrian Teah, I Am Vash menampilkan dua pelakon popular iaitu Sangeeta Krishnasamy sebagai Vash yang merupakan pemenang Anugerah Pelakon

Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29).

Menyertai Sangeeta adalah aktor hebat Bront Palarae yang memegang watak Rahman iaitu rakan sejawat Vash.

Naskhah tersebut dijadualkan memulakan penggambaran pada Mei tahun depan dan dijangka menemui penonton menjelang 2023.

I Am Vash diketuai dan diterbitkan oleh barisan penerbit eksekutif, Justin Deimen, Abhi Rastogi dan Micah Tadena dari 108 Media serta Zainir Aminullah dan Anne Low (Revolution Media).

Cabaran, keterujaan

Selepas berjaya mencetus fenomena dalam industri serantau menerusi filem The Wedding Diary, Paskal dan Wira, Adrian kini bersemangat menjayakan I Am Vash kerana latar belakang unik projek tersebut.

Malah, atas faktor tersebut, dia mengakui ada cabaran yang perlu ditempuhinya kelak untuk menjayakan peranannya selaku pengarah.

“Watak utamanya diterajui kaum minoriti dengan premis zaman retro serta aksi.

“Ini sesuatu yang sangat mencabar buat saya sebagai seorang pengarah. Sudah tentu saya mahu turut serta dalam projek ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Sangeeta, dia sangat teruja kerana dapat terbabit dalam sebuah projek yang tertumpu pada satu zaman ketika sistem kehakiman jenayah tempatan menghadapi cabaran besar.

“Saya berasa lebih gembira kerana naskhah ini mengangkat seorang protagonis wanita.

“Ini sekali gus meraikan kedudukan wanita dalam pasukan berseragam,” katanya teruja.

Sementara itu, bagi Bront pula, dia yakin kerjasama dengan produksi hebat seperti 108 Media dan Revolution Media mampu menghasilkan pengalaman luar biasa menerusi I Am Vash.

“Saya sangat teruja kerana dalam naskhah ini, kami menghidupkan kisah-kisah sahih dan watak-watak Asia Tenggara untuk tontonan dunia,” ujarnya.

Menurut presiden penerbitan 108 Media, Justin Deimen pula, penyatuan unsur budaya dan komersial boleh menjadi satu titik pendorong buat kemunculan pergerakan baharu selain dapat melahirkan kandungan serantau yang meliputi pasaran ke peringkat antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI