KEHADIRAN pendatang baharu bernama Aisar Khaled dalam industri hiburan tanah air seakan-akan begitu mudah laluannya.
Manakan tidak, populariti yang diraih pucuk muda berusia 21 tahun itu sebagai pensohor media sosial dan YouTuber bukan setahun dua, tapi sejak dia berada di bangku sekolah menengah lagi.
Tampil dengan pakej seraut wajah kacukan Melayu-Jordan dan bertubuh tinggi lampai bak model turut menjadi nilai tambah buat lelaki itu untuk mekar dan terus terbang tinggi dalam persada seni tanah air.
Perlahan-lahan, nama Aisar mula dikenali ramai terutama pengguna media sosial dalam kalangan anak muda remaja sebaya dengannya.
Pengikutnya juga mula bertambah saban hari. Apa sahaja yang dilakukan Aisar pasti akan menjadi bualan netizen yang tidak pernah lekang dengan hujahan dan hukuman dunia.
Sebelum ini, namanya juga pernah tular dek mencipta kandungan untuk saluran YouTubenya yang jelas disifatkan tidak sensitif dan mengundang kemarahan ramai.
Video tersebut membuatkan ramai yang menonton menggelegak hati gara-gara tindakannya menziarahi kubur Allahyarham Siti Sarah pada hari sama kematian penyanyi itu pada 9 Ogos lalu.
Tidak setakat itu, kandungan video tersebut yang terkandung ‘give away’ (hadiah berupa wang tunai) diterjang kritikan hebat netizen yang melabelkan tindakan pemuda itu agak keterlaluan.
Pun begitu, Aisar mengakui kesilapan dan kealpaannya. Sesalnya, dia langsung tiada niat apatah lagi mahu menyinggung perasaaan keluarga arwah.
Shuib Sepahtu sebagai suami turut memaafkan kesilapan Aisar selepas video tersebut dipadamkan daripada YouTube, malah dia juga membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Instagram.
“Saya tahu khilaf saya. Saya tahu saya berlebihan dalam membuat kandungan. Kadang-kadang diri ini alpa sebab saya juga manusia biasa.
“Selepas isu tersebut berlaku, saya belajar dan terus belajar. Saya terbuka menerima sebarang teguran, kecaman mahupun sokongan membina,” katanya membuka bicara bersama HibGlam baru-baru ini.
Meneruskan perbualan, pemilik nama lengkap Aisar Khaled Kamel itu tetap percaya ada hikmah yang ingin diberikan Maha Esa kepadanya atas apa yang berlaku.
Kontroversi, rezeki
Tambah anak jati Kuala Lumpur itu, dia tidak mahu dicap sebagai kebal kontroversi kerana apa yang berlaku bukanlah seperti yang dirancangnya.
Bagi Aisar, segala bentuk cacian, makian, hinaan dan perkara-perkara negatif yang boleh menjatuhkan imej seseorang yang bergelar selebriti memang tidak dapat dielakkan.
“Kalau cakap soal caci dan makian, benda ini bukan baru berlaku, tapi sejak awal lagi. Dari dahulu sampailah sekarang, ada saja yang tak kena.
“Buat baik pun orang mengata. Apatah lagi kalau buat jahat. Situasi sebegini memang tak akan berhenti. Jadi pendekatan yang saya lakukan, biarkan saja dan maafkan kesilapan orang lain tanpa pernah jemu,” katanya.
Jelas Aisar, jalan hidup yang dipilih perlu diteruskan dan seseorang itu perlu bijak mencorakkan kanvas kehidupan tanpa pernah lelah.
Sementara itu, ketika bercerita tentang lakonan, Aisar yang mengakui masih hijau dalam dunia tersebut bersyukur atas rezeki yang dikurniakan Tuhan kepadanya.
Masih baharu tapi dia sudah diberi tawaran besar apabila disunting memegang watak hero bagi sebuah filem komedi seram berjudul Hantu Ke Lima arahan Azhari Zain yang menemui penonton menerusi saluran Astro Shaw bermula 7 Oktober lalu.
Bagi lelaki berketinggian 190 sentimeter itu, tidak pernah sekali pun terlintas dalam fikiran bahawa dia akan diberi kepercayaan tinggi memegang watak utama.
“Kalau cakap soal lakonan, saya menceburi dunia ini hanya secara kebetulan. Pun begitu, saya tidak menolak untuk mencabar diri apabila peluang, ruang dan rezeki datang tanpa diduga.
“Sebelum ini, saya mencari rezeki dengan menjadi selebriti media sosial dan kerap mempromosi kempen dan jenama produk terkenal. Itulah punca utama pendapatan saya sebelum terjun dalam bidang lakonan,” katanya.
Hijrah
Setiap manusia pasti tidak terlepas daripada melakukan pelbagai khilaf waima dosa besar mahupun kecil.
Itu apa yang sedang dialami anak bongsu daripada tiga beradik itu untuk terus memperbaiki diri demi menjadi manusia yang lebih baik.
Sama seperti selebriti lain yang sudah mula perlahan-lahan berhijrah dengan mendekatkan diri melakukan perubahan, Aisar juga sedang mencari reda Tuhan.
Tegasnya, dia bukan terikut-ikut atau sengaja menjadi baik, namun perkara tersebut dilakukannya dengan rela hati dalam usaha menjadi Muslim terbaik.
“Kalau cakap bab hijrah, perubahan yang dilakukan saya bukannya sebab nak jadi ustaz atau alim ulama sekali gus meninggalkan dunia glamor.
“Tapi cuba saya belajar dan bertatih perlahan-lahan dengan mendekatkan diri ke jalan Allah. Bermula dengan menyertai jemaah tabligh dan majlis-majlis ilmu.
“Mungkin Allah jentik hati saya lebih awal pada usia muda. Tak kisahlah apa orang nak kata pasal perubahan ini, biar saya dan Dia saja yang tahu. Apa pun saya masih belajar dan perlukan bimbingan serta doa semua,” katanya.
Ujar Aisar sebelum menamatkan bicara, dia tetap akan meneruskan kerja-kerja seni seiring dengan hijrah yang dilakukan kerana hanya itulah lubuk untuknya beroleh sumber pendapatan.