PETALING JAYA – Sebuah akaun Instagram yang menggunakan nama @fazeeranazriaz menarik perhatian netizen apabila terdapat dua keping gambar wanita berbusana pengantin dalam Instagram tersebut yang dipercayai isteri baharu kepada pelakon Fizo Omar.
Bahkan, akaun Instagram tersebut turut menggunakan gambar profil Fizo berbaju Melayu putih bersama anaknya, Wan Maryam seperti yang dikongsikan pelakon itu semalam menerusi Instagram miliknya.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam Instagram berkenaan, foto pertama yang dimuat naik sekitar lima jam lalu menunjukkan seorang lelaki (tanpa menunjukkan wajah) sedang menyarung cincin ke jari seorang wanita dengan kapsyen berbunyi: “Alhamdulillah”.
Gambar kedua pula memaparkan gambar wanita yang didakwa isteri kepada Fizo itu sedang disolek beserta keterangan ‘syukur’ dan emoji cincin.
Selain itu, akaun yang turut tertera nama Fizo Faz pada ruangan bio itu juga mengikuti akaun rasmi Fizo Omar.
Bagaimanapun Fizo sehingga pagi ini belum memberikan sebarang kenyataan tentang perkhabaran pernikahan keduanya itu.
Terdahulu, Fizo atau nama lengkapnya Wan Hafizol Wan Omar, 36, bermain teka-teki dengan peminatnya apabila memuat naik gambar dia lengkap berbaju Melayu putih bersama anaknya dalam Instagram sehingga menjadi persoalan jika dia sudah melangsungkan pernikahan pada malam tadi.
Pada ruangan kapsyen, Fizo turut meletakkan keterangan pada gambar, ‘Ok abe Joe (panggilannya) left group recond (tinggalkan kumpulan ‘terpakai’) dulu ok. Apa-apa roger ok.’
Berdasarkan komen dalam Instagram, Fizo dikatakan bernikah dengan wanita yang juga bekas pramugari dari Sarawak.
Majlis pernikahan mereka pula dipercayai berlangsung di Janda Baik, Pahang.
Sebelum ini Fizo pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mawar Karim pada November 2013 dan dikurniakan anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.
Bagaimanapun, mereka bercerai pada Julai 2019. – K ONLINE