PETALING JAYA – Bukan hanya tidak balik jumpa ibu bapa, namun ada juga yang tidak ke masjid selepas kebenaran solat berjemaah dibenarkan.
Di media sosial ketika ini, orang ramai mempertikaikan segelintir masyarakat yang hanya bising ketika kerajaan membuat prosedur operasi standard (SOP) ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.
Ketika itu ramai yang bising masjid tidak boleh hadir sedangkan beberapa sektor lain sudah dibuka. Namun lain jadinya selepas SOP baharu diumumkan.
“Betul, bukan sahaja ada segelintir yang mendahulukan melancong daripada rentas negeri jumpa orang tua, masjid juga ada yang tak pergi.
“Sebelum ini ramai yang bising kata masjid ditutup, sepatutnya masjid dibuka. Tapi sekarang ada je melangut makan ABC time Jumaat,” jelas Irdina_Salleh88.
“Ini realiti hari ni, bising, memekak masa tak boleh. Dah memang tak boleh masa tu. Tiap-tiap hari bising. Kerajaan zalim la, tak kesian rakyat la.
“Bila dah buka sempadan negeri ni tak ada pun nak jumpa mak ayah, solat Jumaat pun tak pergi, dulu bukan main lagi bising masjid tutup,” kata Farah Nadia. – K! ONLINE