fbpx

Adly cabar keabsahan pembubaran DUN Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly (tengah) ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini bagi mencabar keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan membatalkan Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka serta-merta.

Adly ,50, selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman itu menerusi firma guaman Gan Ho& Razlan Hadri dengan menamakan Ketua Menteri Melaka (caretaker), Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof sebagai responden pertama dan kedua.

Sementara responden ketiga dan keempat ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, antara deklarasi yang dituntut Adly ialah nasihat responden pertama terhadap responden keempat pada atau sekitar 4 Oktober 2021 untuk membubarkan DUN Melaka ke-14 menurut Artikel 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka adalah tindakan mala fide (berniat jahat) kerana responden pertama tidak lagi mempunyai sokongan besar ahli DUN Melaka.

Selain itu, Adly turut memohon satu deklarasi bahawa dalam keadaan apa pun adalah sangat tidak munasabah dan tidak rasional bagi responden pertama untuk menasihati responden keempat pada tarikh sama untuk membubarkan DUN Melaka dalam keadaan pandemik atau endemik Covid-19 yang sedang berlaku di negara ini.

“Selanjutnya, satu perintah certiorari (menghalang) bahawa Writ dan notis PRN yang dikeluarkan responden ketiga dibatalkan serta-merta,” kata bekas Ketua Menteri Melaka antara Mei 2018 hingga Mac 2020.

Sementara itu Adly ketika ditemui selepas memfailkan semakan kehakiman itu berkata, beliau yang mewakili PH Melaka memberitahu tindakan mahkamah itu diambil bagi memastikan perlembagaan dan keluhuran undang-undang negara terus dihormati.

Pada 5 Oktober lalu, PRN bakal diadakan di Melaka selepas Dewan DUN Melaka dibubar susulan kemelut politik di negeri itu.

Keputusan mengejutkan itu diumum Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dalam satu sidang akhbar khas.

Sebelum ini desas-desus mengenai pergolakan politik dalam kerajaan Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau mengambil maklum kebimbangan rakyat berhubung risiko penularan Covid-19 sekiranya PRN di Melaka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI