fbpx

4 sekawan nyaris maut, kereta terbabas sebelum terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta yang dinaiki empat sekawan yang terbakar di Jalan Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh malam tadi. FOTO TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Empat orang lelaki nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembetung parit sebelum terbakar di Jalan Kampung Telaga Papan di sini malam tadi.

Kejadian pada pukul 9.55 malam itu menyebabkan Muhammad Ikhwan Ali Aziz, 22 bersama tiga rakannya yang menaiki kereta jenis Honda Jazz, Nur Daniel Nur Zahariman (22), Ahmad Hazim Halim (21), dan Mohamad Daniel Ikhwan Kaswadi (25) mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.

Salah seorang mangsa dipercayai pemandu kereta mengalami kecederaan parah selepas kereta dinaikinya terbabas dan terbakar di Jalan Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh malam tadi. FOTO TOREK SULONG

Saksi kejadian yang dikenali sebagai Roslan, 59, berkata, semasa kejadian, dia bersama penduduk kampung yang lain bergegas ke lokasi kejadian selepas terdengar bunyi dentuman kuat.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, dia melihat sebuah kereta jenis Honda Jazz terbakar dan berada dalam keadaan terbalik dipercayai akibat merempuh pembetung parit.

“Kami memadam kebakaran pada kereta itu menggunakan sumber air berdekatan dan mengeluarkan kesemua mangsa di dalam kereta berkenaan.

“Nasib baik kami bertindak pantas mengeluarkan mereka dari dalam kereta. Jika tidak, kesemua mangsa pasti akan rentung dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, Pegawai Bomba Tinggi II, Cik Azrul Azmeri Che Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.02 malam dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Menurutnya, semasa anggota bomba tiba, empat orang mangsa didapati telah mengalami cedera parah dan diselamatkan oleh orang awam.

Tambahnya, operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 11.23 malam selepas memastikan keadaan kebakaran selamat sebelum menyerahkan kes kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI