JAKARTA – Sebuah video yang menunjukkan aksi seorang wanita yang terpaksa menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada bekas teman lelakinya yang datang bersama kekasih baharunya menjadi tular di media sosial, lapor laman Suara.com semalam.
Dalam video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok bernama @putelza itu, dia terkejut apabila mendapati individu yang harus diperiksa pada hari itu adalah bekas kekasihnya sendiri.
“Diambil daripada kisah benar. Masih perlu bersikap profesional,” tulisnya pada keterangan video.
Wanita itu kemudiannya melakukan pemeriksaan tekanan darah pada bekas kekasihnya itu dan ia mencatatkan bacaan yang tinggi.
Kekasih baharunya kemudian bertanya mengapa bacaan darah teman lelakinya itu tinggi.
Wanita itu lantas menjawab bahawa bekas kekasihnya itu sememangnya mempunyai sejarah darah tinggi dan perlu makan ubat.
Netizen yang melihat video itu kemudiannya meninggalkan pelbagai komen.
“Bekas teman lelakinya itu pasti bangga kerana wanita itu masih ingat tentang penyakitnya,” tulis seorang netizen.
“Balas dendam terbaik adalah dengan menjadi diri sendiri dalam versi yang lebih baik,” tulis seorang netizen lain. – AGENSI