JAKARTA – Seorang wanita mendedahkan menerima bayaran berjumlah 3.5 juta rupiah (RM1,029) oleh keluarga bekas teman lelakinya yang memutuskan hubungan mereka tanpa sebarang alasan, lapor laman Suara.com.
Menurut pendedahan yang dibuat oleh pemilik akaun TikTok dengan nama @akunsepele itu, wanita itu menerima mesej daripada kakak bekas teman lelakinya yang hanya dikenali sebagai Y yang memaklumkan sudah memindahkan wang kepadanya.
“Bismillah, sudah dipindahkan wang bernilai 3.5 juta rupiah ya. Selesai sudah urusan anda bersama Y dan keluarga.
“Kami sekeluarga memohon maaf atas semua yang sudah terjadi,” demikian pesanan yang dihantar oleh kakak Y kepada wanita tersebut.
Kakak Y juga meminta wanita itu untuk tidak lagi menghubungi adiknya dan menyarankan agar dia memulakan kehidupan baharu tanpa Y.
“Maaf ya kak kerana ini urusan saya dan Y. Dia sepatutnya boleh menyelesaikan masalahnya sendiri, bukannya melarikan diri,” demikian kata wanita itu.
Y pula hanya mendiamkan diri dan tidak langsung menghubungi kekasihnya itu selepas keluarganya bertindak memutuskan hubungan mereka.
Netizen yang membaca kisah tersebut kemudiannya berkongsi pelbagai reaksi menerusi ruangan komen.
“Maaf tapi masalah begitu bukan diselesaikan dengan duit, apatah lagi wang berjumlah 3.5 juta rupiah,” demikian komen yang ditinggalkan seorang netizen.
“Lelaki itu sudah dewasa namun bersembunyi di sebalik ahli keluarga, mungkin kerana dia yang menjadi punca (perpisahan),” tulis seorang netizen lain. – AGENSI