REMBAU – Empat sekawan yang menuntut di Madrasah Maahad Tahfiz Barokah Wa Sakinah di Kampung Pilin di sini yang bakal bergelar tahfiz pada minggu hadapan reda apabila mereka terpaksa menempuh pengalaman banjir kilat sehingga menenggelamkan lebih satu meter pusat pengajian mereka semalam.
Daniel Bazil, 17, berkata, hanya berbaki satu juzuk lagi untuk dia dan tiga lagi kawannya membuat hafalan yang mana mereka dijadualkan untuk khatam hafaz al-Quran bersama-sama pada minggu hadapan.
Menurutnya, air mulai naik di halaman madrasah berkenaan seawal selepas azan asar, namun mereka tidak menyangkakan keadaan itu menjadi bertambah buruk selepas azan maghrib apabila air naik dengan pantas melebihi paras satu meter.
“Kami sempat meletakkan al-Quran kami di bahagian tinggi di dalam surau madrasah. Mujur al-Quran ini tidak ditenggelami air banjir kilat, jika basah, saya dan rakan-rakan pasti akan sedih, namun kami tidak akan berputus asa untuk meneruskan hafalan walaupun tertangguh sedikit daripada jadual yang dirancang.
“Sementara menunggu bantuan pasukan bomba untuk membawa kami keluar menggunakan bot pada pukul 10 malam, kesemua pelajar dan dua guru berlindung di rumah kayu yang dibina sedikit tinggi dari tempat tinggal yang lain di madrasah ini,” katanya ketika ditemui di Madrasah Maahad Tahfiz Barokah Wa Sakinah di Kampung Pilin, di sini, tadi.
Sehubungan itu, individu yang ingin menyumbang boleh menghulurkannya ke akaun Bank Islam 05076010010701 dengan nama Madrasah Maahad Tahfiz Barokah Wa Sakinah.