MADRID – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berpuas hati biarpun meraih ‘tiga mata dramatik’ susulan kemenangan 3-2 ke atas Atletico Madrid yang beraksi dengan 10 pemain pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Klopp mengakui, pasukannya berdepan kesulitan selepas Atletico bangkit menyamakan kedudukan setelah ketinggalan dua gol sebelum segala-galanya menjadi mudah kerana layangan kad merah kepada Antoine Griezmann pada babak kedua.
“Kami masih perlu bertahan walaupun Atletico bermain dengan 10 pemain. Sebab itu saya anggap ini adalah tiga mata dramatik yang cukup berharga buat kami.
“Pertembungan dengan Atletico sentiasa menjanjikan drama. Aksi ini juga bukanlah persembahan terbaik kami tetapi saya lega kerana berjaya pulang dengan tiga mata.
“Saya beritahu pemain supaya manfaatkan ruang-ruang kosong di kawasan Atletico dan gunakan kelebihan kami bermain 11 pemain. Ia menjadi lebih dramatik apabila kami menang dengan sepakan penalti,” kata Klopp.
Liverpool meledak dua gol menerusi Naby Keita dan Mohamed Salah pada minit kelapan dan 13, namun Griezmann menyamakan kedudukan buat Atletico (m-20, m-34) sebelum dia diarahkan keluar padang pada minit ke-52.
Salah memastikan kemenangan milik The Reds selepas menyempurnakan sepakan penalti ketika perlawanan berbaki 12 minit untuk tamat.
Sebagai rekod, Salah mencipta sejarah baharu apabila dia muncul pemain Liverpool pertama berjaya menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut untuk semua kejohanan bersama kelab dari Anfield itu. – AGENSI