DUA pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis tentunya sudah tidak sabar untuk memulakan cabaran pada Kejohanan Dunia UCI 2021 di Roubaix, Perancis yang berlangsung sehingga Ahad ini.
Shah Firdaus, 25, akan menjadi wakil pertama skuad berbasikal negara yang turun ke Velodrom Roubaix menghadapi acara keirin lelaki hari ini.
Jika berjaya melepasi setiap pusingan, tidak mustahil pelumba dari Johor yang beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berpeluang menaiki podium dalam acara berkenaan dijangka berlangsung awal pagi esok.
Keesokannya, giliran Fadhil, 23, pula turun ke gelanggang berentap dalam acara 1 kilometer (km) catatan masa sebelum Shah Firdaus menghadapi saingan terakhirnya bagi kategori pecut lelaki pada Sabtu dan Ahad ini.
Justeru, Datuk Azizulhasni Awang yang pernah meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Dunia 2017, percaya kedua-dua pelumba negara itu mempunyai potensi untuk mengulangi pencapaiannya dalam edisi kali ini.
“Saya percaya Shah (Firdaus) dan Fadhil sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar negara.
“Namun, selepas meneliti senarai-senarai pencabar yang akan berentap di sana, hanya satu nasihat daripada saya kepada mereka berdua.
“Pastikan korang (mereka) sampai ke garisan penamat terlebih dahulu daripada pelumba lain. Semoga yang terbaik buat anda berdua,” kata Azizulhasni dalam satu kenyataan di laman sosialnya.
Sebagai rekod, skuad berbasikal negara kali ini menghadapi Kejohanan Dunia tanpa kehadiran Azizul selaku pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley.