PETALING JAYA – Dengan sekali lafaz, penyanyi kumpulan Floor88 iaitu Ayie Elham selamat bergelar suami kepada pilihan hatinya, Tasha Awie dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung sekitar pukul 10 pagi tadi.
Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah, 24, yang mengenakan persalinan baju Melayu berwarna putih dinikahkan sendiri oleh bapa Tasha, Ahmad Nawawi Mad Nasir.
Dalam majlis tersebut, pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 serta gelang dan cincin emas tanpa wang hantaran.
Ayie berkongsi sebuah video dalam Instagram memaparkan momen ketika majlis akad nikahnya bersama isteri berlangsung di Masjid Ukay Perdana, Ampang.
Majlis serba ringkas tersebut dilakukan dalam suasana yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan dihadiri keluarga terdekat pasangan pengantin.
Malam tadi, pasangan mempelai sempat mengadakan majlis berinai dengan bertemakan Bollywood.
Sementara pada malam ini, pasangan itu akan meraikan perkahwinan mereka dengan sebuah majlis resepsi namun tidak dinyatakan lokasi.
Terdahulu, Ayie dan Tasha, 22, mengikat tali pertunangan di Lanai Anggun, Eco Sky, Kuala Lumpur pada Januari lalu. – K! ONLINE