PETALING JAYA – Isu berkaitan lawak lucah yang semakin hangat diperkatakan sejak beberapa hari ini tidak menunjukkan tanda pengakhiran.
Isu berkaitan lawak lucah ini timbul selepas tular sedutan temu bual menerusi sebuah program yang melibatkan beberapa orang pelakon berkongsi pengalaman watak jahat lakonan masing-masing.
Dalam video yang mengundang kecaman ramai itu, pelakon tersebut telah berkongsi secara terperinci tentang pembikinan babak rogol melibatkan seorang pelakon wanita yang disifatkan agak keterlaluan dan melampau.
Terbaharu, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg berkongsi pengalaman di media sosial Twitternya berkaitan isu lawak lucah membabitkan jurulatihnya.
Katanya, dia mempunyai pengalaman dengan seorang jurulatih yang sering membuat lawak lucah tanpa mengira tempat dan tidak menghormati orang lain.
“Dulu saya ada seorang coach (jurulatih) yang suka buat lawak lucah. Saya buat diam je, tak pun ‘fake laugh’ sebab takut dengan dia. Pernah sekali tak tahan, saya tegur dia tapi kena buli balik. Tujuh tahun kemudian dia terlibat dengan kes rogol.
“Paling sedih, dalam tujuh tahun itu dia akan buat hal setiap tahun. Kami atlet tak boleh buat apa sebab ‘backup’ besar dia adalah ketua jurulatih kami sendiri,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, secara kesimpulannya, kita memerlukan ketua yang baik yang boleh memperbetulkan kesalahan bukan menutup kejahilan.
“Kepada yang menjadi mangsa kes ini, bersuaralah! suara kecil anda amat diperlukan sekiranya kita bersama-sama berjuang dalam menghentikan isu ini.
“Bagaimanapun, kami bernasib baik dilindungi persatuan. Apa-apa pun, cerita ini berakhir dengan pengakhiran yang mengembirakan,” jelasnya.
Pada 11 Oktober 2017, negara dikejutkan dengan berita jurulatih pasukan terjun kebangsaan, Huang Qiang, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol seorang atlet terjun kebangsaan wanita berusia 20 tahun di Kompleks Akuatik Sukan Negara, Bukit Jalil pada September lalu.
Perkongsian Pandelela itu telah diulang ciap sehingga 8,734 kali dan mendapat lebih 9,674 tanda suka. – K! ONLINE.